IPOH – Kontinjen Perak menyasarkan kutipan keseluruhan 160 pingat dengan sasaran utama meraih 50 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos depan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan penyertaan kontinjen negeri dalam 37 acara sukan yang dipertandingkan.
Menurut beliau, sasaran kutipan 160 pingat itu dilihat mampu dicapai menerusi kekuatan beberapa acara pada siri SUKMA sebelum ini yang menjadi penyumbang pingat kepada Kontinjen Perak.
“Kita juga meletakkan sasaran untuk keseluruhan pingat yang perlu kontinjen kita raih iaitu 160 pingat sama ada emas, perak dan gangsa, tetapi fokus kita adalah 50 pingat emas.
“Ada acara yang (berpotensi) menawarkan sasaran satu hingga empat pingat emas, manakala ada juga yang setakat mensasarkan pingat perak atau gangsa, tetapi perkara itu mungkin berbeza pada hari kejohanan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kontinjen SUKMA Negeri Perak 2026 di Kelab Golf Diraja Perak, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Ketua Kontinjen Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Khairudin berkata, antara acara yang menjadi sandaran untuk menyumbang pingat emas pada temasya sukan dwitahunan itu ialah Silambam, Wushu, Taekwondo, Olahraga, Renang, Hoki, Sofbol dan Kriket.
“Kita mensasarkan supaya sukan ini menjadi sukan tradisi untuk kita menang pingat emas, dan 50 pingat itu berada dalam liputan untuk rangkaian-rangkaian sukan berkenaan.
“Kita mengharapkan sasaran jumlah pingat itu berjaya dicapai hasil kerjasama, komitmen, pengorbanan dan penat lelah daripada semua organisasi khususnya Majlis Sukan Negeri (MSN), pihak kontinjen serta pasukan,” katanya.

Mengulas berkenaan sasaran 50 pingat emas yang menandingi rekod tertinggi kontinjen Perak iaitu 49 emas pada SUKMA 2002, Khairudin berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan jumlah kontinjen serta persiapan awal yang telah dilaksanakan.
Beliau berkata, kontinjen Perak yang menghantar hampir 1,000 anggota perlu dinilai bersama pencapaian yang disasarkan selain mengambil kira kekuatan dalam acara yang menjadi tradisi kemenangan negeri.
“Kita lihat tahun 2002 kali terakhir kita dapat 49 pingat emas, sebelum ini kita pernah dapat 30 dan yang terbaru di Sarawak kita dapat 35.
“Kita meletakkan sasaran 50 pingat emas itu berdasarkan penyertaan kita dengan sukan-sukan yang menjadi tradisi kepada kita,” jelasnya.
Menurut beliau, ketika ini persiapan atlet lebih tertumpu kepada latihan taktikal, pengukuhan kekuatan psikologi mental serta latihan ringan bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik menjelang temasya itu.
“Kita tidak mahu jika kita terlalu memaksa atlet ini, mungkin berlaku kecederaan atau gangguan dari segi mental. Jadi kita buat latihan ringan dan fokus kepada ketahanan psikologi mental.
“Kalau mental mereka tidak kuat, mereka tidak mampu berjuang, sebab itu kita kukuhkan perkara-perkara itu supaya mereka mampu mengharungi segala rintangan, dugaan dan cabaran daripada pihak lawan,” ujarnya.
Pada masa sama Khairudin berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pengurus, jurulatih dan atlet sepanjang proses persiapan serta latihan yang telah bermula sejak tahun lalu.
“Saya lihat komitmen pengurus, jurulatih dan atlet cukup baik. Mereka telah berusaha berlatih bersungguh-sungguh dan kita harapkan kesungguhan mereka itu dapat dibuktikan dengan pencapaian di SUKMA Selangor nanti,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SUKMA Selangor: Perak bidik 50 emas, mahu lonjak kedudukan


