IPOH – Sesebuah negara memerlukan tadbir urus dan kestabilan politik yang baik kerana tanpa kedua-duanya, soal pembentukan masyarakat secara menyeluruh tidak mampu berkembang dengan sempurna.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, meskipun sesebuah negara itu kaya dengan sumber asli dan warisan budaya, namun ia tidak akan membawa manfaat sekiranya ditadbir dengan institusi kepimpinan yang lemah.
Titah baginda, lebih malang apabila negara dipimpin individu yang tidak bertanggungjawab, atau kuasa politiknya dikuasai oleh kepentingan diri berbanding khidmat kepada masyarakat.
“Pemikiran politik Islam sejak sekian lama memberikan penekanan yang amat besar terhadap konsep amanah.
“Dalam tradisi Islam, kuasa bukanlah suatu keistimewaan untuk dinikmati, sebaliknya merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dan yang akhirnya akan dipertanggungjawabkan oleh pemegang amanah tersebut,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Titah Ucaptama Diraja sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 kali kelapan di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini pada Selasa.
Persidangan anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu mengangkat frasa ‘Everyone Matters – Pride and Unity in Islam’ atau Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan Dalam Islam sebagai tema.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Naib Canselor USAS, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.
Sultan Nazrin bertitah, seseorang pemimpin yang melupakan hakikat berkenaan dengan mula melihat jentera kerajaan untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu bukan sahaja telah mengkhianati undang-undang, malah jauh lebih besar daripada itu.
Titah baginda lagi, tadbir urus baik menuntut beberapa perkara asas yang perlu dilaksanakan termasuk pengurusan kewangan awam yang dilaksanakan secara telus agar rakyat yakin dengan hasil yang dikutip itu digunakan demi kepentingan bersama.
Selain itu baginda turut menekankan aspek kedaulatan undang-undang yang perlu ditegakkan secara adil tanpa mengira sesiapa mahupun kedudukan seseorang yang mana semua pihak berhak mendapat perlindungan di bawah kerangka perundangan.
“Pada masa yang sama, budaya politik yang matang perlu dipupuk agar perbezaan pandangan diraikan secara beradab.
“Pihak pembangkang dihormati sebagai mekanisme semak dan imbang yang sah, dan peralihan kuasa berlangsung secara aman mengikut kehendak rakyat,” titah Sultan Nazrin.
Sultan Perak bertitah, kestabilan bukan bermaksud tiada perbezaan pendapat, sebaliknya negara yang stabil di dunia merupakan negara yang paling rancak berbahas kerana segala perbezaan disalurkan melalui saluran sah dan bukan menerusi kekerasan.
“Ketidakstabilan sebenarnya bermula apabila rakyat hilang keyakinan terhadap proses pilihan raya, kebebasan badan kehakiman atau integriti institusi awam.
“Apabila kepercayaan terhadap sistem mula terhakis, golongan yang paling awal teruk menerima kesannya ialah mereka yang miskin, terpinggir dan tidak mempunyai suara,” titah baginda lagi.
Justeru baginda bertitah, prinsip ‘setiap insan bererti’ perlu bermula daripada pentadbiran kerajaan dengan belanjawan yang dirangka bukan sekadar dokumen kewangan, sebaliknya ia mencerminkan nilai moral yang memberikan keutamaan kepada rakyat.
Titah Sultan Nazrin lagi, ketika dunia Islam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, semua pembuat dasar diseru untuk menginsafi bahawa tadbir urus yang baik bukan suatu kemewahan, sebaliknya ia adalah prasyarat utama untuk mencapai sesuatu kemakmuran.
“Perkhidmatan awam yang berkhidmat secara adil kepada semua warga tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik merupakan manifestasi sebenar perpaduan negara.
“Begitu juga pemimpin yang memerintah dengan rendah hati, sedia mendengar sebelum membuat keputusan serta sentiasa menginsafi bahawa kuasa hanyalah amanah yang dipinjamkan, akan lebih berjaya memupuk kesetiaan dan kebanggaan rakyat berbanding apa jua slogan,” titah baginda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berkenan rasmi Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando


