CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) — Barisan Nasional (BN) kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan selaras dengan pendirian dan resolusi yang dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lepas, kata pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri berkata semua pihak diminta menghormati keputusan yang telah dicapai di peringkat tertinggi itu.
“Itu pendirian dan resolusi kita yang telah kita bawa ke Perhimpunan Agung (UMNO). Tidak ada badan lebih tinggi daripada Perhimpunan Agung dan kita sangat menghormati keputusan itu. Jadi kita harap janganlah risau,” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Hari Imigresen 2026, di sini ,hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata keputusan melantik atau menggugurkan mana-mana individu dalam Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kuasa pelantikan itu adalah hak mutlak Perdana Menteri. Jadi kalau Perdana Menteri mengesyaki ataupun dapat maklumat yang benar, itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri memberi amaran kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan untuk menyerang rakan Kerajaan Perpaduan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Anwar dilaporkan berkata mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara itu akan diminta berundur daripada jawatan disandang.
— BERNAMA


