IPT diseru bentuk generasi berintegriti demi masa depan negara – Johari

IPOH – Institusi pengajian tinggi (IPT) diseru supaya memberi tumpuan kepada usaha membentuk generasi muda sebagai warganegara dan pemimpin yang berintegriti kerana golongan tersebut adalah penentu kelangsungan masa depan negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, universiti sebagai institusi yang mencorakkan masa depan negara perlu menyediakan program pembangunan kepimpinan dan nilai murni yang wajib diikuti oleh semua pelajar tanpa mengira bidang pengajian.

Menurutnya, golongan pendidik seperti profesor di universiti ialah penjaga masa depan negara dan mereka diseru untuk melabur dalam pembangunan generasi muda.

“Di sini saya percaya universiti boleh memainkan peranan yang amat penting, iaitu mendidik anak-anak kita menjadi warganegara yang baik dan pemimpin yang baik.

“Universiti mesti mewujudkan program supaya semua pelajar, tanpa mengira fakulti mana mereka berasal, mengikuti program tersebut untuk menjadi insan yang baik dan pemimpin yang baik.

“Selagi kita tidak melakukannya, saya tidak fikir kita akan berada pada kedudukan untuk mempengaruhi orang lain,” katanya.

IPT diseru bentuk generasi berintegriti demi masa depan negara – Johari
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul ketika sesi bergambar pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 kali kelapan di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum ‘Tadbir Urus Baik dan Kestabilan Politik’ sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Johari berkata, pendidikan adalah asas kepada kemajuan sesebuah negara dan kegagalan membentuk pemimpin yang berintegriti serta berwibawa boleh membawa kepada kemusnahan, tanpa mengira sama ada negara itu majoriti penduduknya beragama Islam atau sebaliknya.

“Saya telah melihatnya secukupnya. Saya telah melihatnya dalam dunia korporat, dunia komersial, sebagai ahli politik dan juga sebagai pentadbir.

“Tidak kira sama ada rakyat datang dari negara Islam atau negara bukan Islam. Pada akhirnya, semuanya berkaitan dengan pendidikan. Oleh itu, saya menyeru warga akademik supaya memandang serius perkara ini dan melabur dalam pembangunan generasi muda,” ujarnya.

Forum yang diterajui Profesor Dr Khairudin Aljunied sebagai moderator itu turut menampilkan panel lain iaitu Setiausaha Agung yang kelima bagi Asian African Legal Consultative Organization, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad; Pengetua dan Pengasas Bersama Al-Salam Institute, Dr Mohammad Akram Nadwi dan Profesor Politik Arab Moden dan Sejarah Intelektual University Colombia, Profesor Joseph A Massad. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pendidikan tinggi perlu diperkasa seiring era teknologi AI – Zambry

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI