IPOH – Institusi pengajian tinggi perlu memperkasakan konsep pendidikan supaya lebih fleksibel dan tidak lagi terikat kepada struktur tradisional bagi memperkukuh sistem pendidikan negara seiring perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah ini perlu bagi melahirkan graduan berdaya saing, berkemahiran tinggi dan relevan dengan keperluan masa depan.
“Sebagai contoh, kita telah membincangkan pendekatan lembut (soft approach), bidang sains sosial, serta hubungan antara sains sosial dan sains tulen.
“Pada masa yang sama, kita sedang menyaksikan kemunculan disiplin-disiplin baharu seperti AI, algoritma AI, dan teknologi kuantum.
“Selain itu, antara bidang baharu yang wajar diterokai oleh universiti ialah kesihatan planet (planetary health), yang semakin penting dalam menghadapi cabaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Pendidikan Adalah Asas: Pemerkasaan Sosial sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan, pelajar dalam bidang kejuruteraan atau pengajian teknikal kini tidak lagi hanya mempelajari aspek teknikal semata-mata sebaliknya, penekanan diberikan kepada gabungan antara ilmu teknikal dengan ilmu sains sosial.
“Sebagai contoh, selama ini kita terlalu menumpukan perhatian kepada konsep STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) namun, konsep tersebut telah berkembang dengan penambahan satu lagi dimensi, iaitu huruf ‘A’, yang mewakili Arts (Seni) atau Seni Liberal.
“Oleh itu, konsep STEM kini telah berkembang menjadi STEAM, yang mengintegrasikan bidang seni dan kemanusiaan bersama sains dan teknologi bagi melahirkan graduan yang lebih kreatif, inovatif dan mempunyai pemikiran yang lebih menyeluruh,” ujarnya.
Zambry turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperkenalkan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi 2026–2035, yang menjadi pelan hala tuju baharu bagi tempoh 10 tahun akan datang.
“Melalui pelan ini, kita berusaha mewujudkan keseimbangan antara pembangunan modal insan, pembangunan modal serta pembangunan moral dengan menyediakan satu pelan tindakan yang komprehensif bagi memacu pendidikan tinggi negara.
“Kita berharap usaha ini dapat melahirkan generasi baharu yang lebih bersedia menghadapi masa depan, dalam mendepani ketidaktentuan semasa yang dibawa oleh perkembangan AI khususnya dalam bidang pendidikan tinggi,” jelasnya.
Forum yang diterajui Profesor Dr Khairudin Aljunied sebagai moderator itu turut menampilkan panel lain iaitu Pengarah Pengasas Institut Madina, Amerika Syarikat, Shaykh Dr Muhammad Yahya Al-Ninowy; Pengerusi Muhammadiyah dan Profesor Pemikiran Politik Islam di Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, Jakarta, Profesor Dr M Din Syamsuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pendidikan penentu daya saing negara dalam era automasi, AI – Sultan Nazrin


