Pendidikan penentu daya saing negara dalam era automasi, AI – Sultan Nazrin

IPOH – Pendidikan menjadi penentu utama keupayaan sesebuah negara menghadapi perubahan besar yang dipacu oleh automasi, perubahan iklim serta ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, pendidikan turut menjadi penentu keupayaan sesebuah negara menghadapi cabaran masa hadapan serta dunia sedang berdepan perubahan besar yang dipacu oleh automasi, perubahan iklim serta ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

“Negara yang melabur secara bersungguh-sungguh dalam pembangunan modal insan akan lebih bersedia menghadapi perubahan tersebut, manakala negara yang mengabaikannya akan ketinggalan.

“Justeru, usaha memperkukuh pendidikan bukan sekadar membina lebih banyak sekolah atau universiti, malah merangkumi pembaharuan terhadap kandungan dan pendekatan pembelajaran, termasuk memperkukuh penguasaan sains dan matematik tanpa meminggirkan bidang kemanusiaan dan seni, memperkasa literasi digital.

“Di samping terus memupuk budaya membaca, berfikir secara rasional dan membentuk nilai moral, serta meletakkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional pada kedudukan yang sama penting dengan laluan akademik agar setiap pilihan kerjaya diberikan penghormatan yang sewajarnya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Titah Ucaptama Diraja sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 kali kelapan anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Naib Canselor USAS, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Titah baginda, sistem pendidikan perlu disesuaikan dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang mengubah landskap pembelajaran dan pekerjaan.

“Dalam era AI, sistem pendidikan turut berdepan cabaran baharu yang memerlukan perhatian segera. Pendekatan pembelajaran yang terlalu bergantung kepada hafalan dan peperiksaan standard tidak lagi memadai dalam dunia yang membolehkan maklumat diperoleh dengan pantas.

“Sebaliknya, generasi muda perlu diperkasakan dengan keupayaan berfikir secara kritis, membuat pertimbangan beretika, berkreativiti dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

Pendidikan penentu daya saing negara dalam era automasi, AI - Sultan Nazrin
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 kali kelapan yang dianjurkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 21 JULAI 2026.

“Hakikatnya, inilah nilai-nilai insaniah yang tidak mampu digantikan oleh AI, dan pada masa yang sama merupakan nilai yang sentiasa menjadi teras pendidikan Islam yang menggabungkan ilmu wahyu dengan pemikiran rasional,” titah Sultan Nazrin.

Menyentuh aspek integriti, baginda bertitah, perkataan itu membawa maksud yang lebih luas daripada sekadar kejujuran individu kerana turut mencerminkan keutuhan sesebuah negara.

“Wajar untuk kita meneliti sejenak perkataan ‘integriti’, yang membawa dua makna penting dalam konteks ini. Pertama, ia merujuk kepada keutuhan sesebuah negara, kesepaduan wilayah dan institusinya yang tidak berpecah dan tidak tergugat.

“Namun, ia juga merujuk kepada kejujuran dan kemantapan moral. Pada pandangan saya, keselamatan sesebuah negara tidak boleh dipisahkan daripada integritinya dalam pengertian yang kedua ini.

“Sebuah negara yang selamat daripada ancaman luar tetapi dibelenggu rasuah dan ketidakadilan dalaman sebenarnya belum mencapai keselamatan yang sebenar, negara itu sekadar menangguhkan saat untuk berdepan dengan akibatnya,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa keselamatan negara kekal sebagai asas penting kepada kestabilan dan kemajuan negara, termasuk dalam mendepani ancaman moden.

“Keselamatan, dalam pengertian tradisional, kekal amat penting. Sempadan mesti dipertahankan, institusi dilindungi daripada perbuatan subversif, dan rakyat dilindungi daripada ancaman luar mahupun dalam negara, termasuk ancaman moden seperti ekstremisme, jenayah terancang dan ancaman siber yang tidak mengenal sempadan geografi.

“Sebaik mana pun tadbir urus, pertumbuhan ekonomi atau pencapaian pendidikan, semuanya tidak akan dapat berkembang maju dalam sebuah negara yang tidak mampu menjamin keselamatan asas rakyatnya.

“Ini merupakan suatu tanggungjawab besar yang mesti diberikan sumber yang mencukupi serta dilaksanakan dengan tahap profesionalisme yang sewajarnya,” titah Sultan Nazrin. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kuasa bukan keistimewaan tetapi amanah yang wajib ditunaikan – Sultan Nazrin

WCIT 2026 perkasa umat Islam bina naratif global baharu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI