GERIK – Seorang wanita warga emas cedera di kepala dalam kejadian samun bersenjata melibatkan dua lelaki di sebuah rumah di Kampung Selat Pagar, Lenggong di sini awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 5.10 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai memasuki rumah mangsa berusia 80-an yang tinggal bersendirian itu selepas mengumpil pintu.
“Seorang daripada suspek bertindak menolak dan menendang mangsa, wanita berusia 80-an itu sebelum mengugutnya menggunakan sebatang besi.
“Suspek kemudian melarikan beberapa barangan milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kereta berwarna gelap dengan nombor pendaftaran VMG 8433, namun nombor tersebut dipercayai palsu.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek serta mengesan kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga rakan tidak mengaku samun bersenjata kedai runcit di Chemor


