MBI nafi imej tular tulisan Cina bersama mercu tanda ‘IPOH’

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan dakwaan tular di media sosial yang memaparkan tulisan dalam bahasa Cina dipasang bersama perkataan ikonik ‘IPOH’ di atas bukit berhampiran Jalan Kuala Kangsar di sini.

MBI dalam satu kenyataan memaklumkan, imej yang dimuat naik menerusi hantaran dalam sebuah kumpulan Facebook itu adalah palsu dan dipercayai telah dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau melalui kaedah suntingan digital.

Menurutnya, sebarang imej yang memaparkan tulisan lain dipasang bersama perkataan ‘IPOH’ di lokasi berkenaan adalah tidak benar, mengelirukan serta tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Penyebaran imej yang telah dimanipulasi berserta kenyataan tidak benar tersebut merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab serta boleh menimbulkan salah faham, keresahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kandungan berkenaan juga dilihat mempunyai unsur fitnah serta berpotensi menjejaskan imej, keharmonian dan reputasi Bandar Raya Ipoh.

“MBI menyeru orang ramai supaya tidak mudah mempercayai, mengulas, berkongsi atau menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Justeru itu katanya, MBI memandang serius penyalahgunaan teknologi AI dan suntingan digital bagi menghasilkan kandungan palsu yang boleh mencetuskan ketegangan, kebencian serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“MBI sedang meneliti perkara ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Ia termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam penghasilan serta penyebaran kandungan palsu berkenaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu MBI menjelaskan, tulisan ikonik ‘POH’ di lokasi berkenaan kini sedang menjalani kerja pemeriksaan, pembaikan dan baik pulih selepas ia diturunkan pada 15 Julai lalu.

Katanya lagi, ia bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur serta keadaan fizikalnya tulisan berkenaan dapat dilaksanakan.

Jelasnya, langkah itu diambil bagi memastikan mercu tanda berkenaan kekal dalam keadaan baik, selamat dan terpelihara sebagai simbol kebanggaan Bandar Raya Ipoh.

“Kerja-kerja pemasangan semula tulisan ‘IPOH’ dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai 4 hingga 6 Ogos 2026, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kelancaran kerja-kerja di tapak,” tambahnya.

Terdahulu tular satu tangkap layar hantaran pada satu kumpulan Facebook yang memaparkan gambar tulisan ikonik ‘IPOH’ kononnya dipasang bersama tulisan Bahasa Cina yang bermaksud ‘Ipoh’. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:
Mercu tanda ikonik ‘IPOH’ diturunkan untuk kerja baik pulih

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI