Anak maut dengan kesan lebam, pasangan kekasih direman tujuh hari

GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan seorang wanita Indonesia dan kekasihnya warga Bangladesh direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian anak lelaki wanita itu berusia lima tahun yang dipercayai akibat pengabaian di sebuah pangsapuri di Gelugor di sini.

Perintah reman terhadap suspek wanita berusia 30 tahun dan kekasihnya, 34, dikeluarkan oleh Majistret Nadratul Naim Mohd Saidi sehingga 30 Julai ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memaklumkan kepada polis mereka adalah pasangan suami isteri, dibawa ke mahkamah secara berasingan dalam keadaan tangan bergari.

Difahamkan, kejadian terbongkar selepas lelaki Bangladesh yang juga penganggur itu menyedari kanak-kanak berkenaan muntah di kediaman sewa mereka kira-kira jam 10 pagi semalam sebelum membawa mangsa ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan susulan ibunya keluar bekerja.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak sedarkan diri ketika berada di klinik sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) namun disahkan telah meninggal dunia.

Difahamkan, pihak hospital membuat laporan polis selepas mendapati terdapat kesan lebam pada seluruh badan mangsa.

Difahamkan, mangsa merupakan anak hasil perkahwinan wanita warga Indonesia itu dengan seorang lelaki Rohingya yang telah meninggal dunia tahun lalu.

Selain itu, pihak polis juga dikatakan masih menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan sama ada kecederaan luaran yang dialami mangsa mempunyai kaitan dengan punca kematian sebelum tindakan lanjut diambil dalam siasatan kes berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI