IPOH – Pergerakan Pengakap Malaysia kini sedang memasuki era transformasi yang lebih berani, moden dan berpandangan jauh selepas pertubuhan itu kini memasuki usia 118 tahun.
Ketua Pengakap Malaysia, Mejar Jeneral Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata, kedudukan negara di pentas dunia turut diperkukuh apabila Kuala Lumpur menjadi ibu pejabat Biro Pengakap Sedunia.
“Ini meletakkan Malaysia di tengah-tengah jaringan kepengakapan global, sekali gus membuka ruang kepada pertukaran kepakaran, perkongsian amalan terbaik dan kerjasama yang luas dengan keluarga pengakap dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Sabtu.
Istiadat disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hadir sama mengiring baginda, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta Pengerusi Majlis Pengakap Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Mohd Zin berkata, pengakap juga kini sedang melaksanakan transformasi melalui penjenamaan semula logo dan pengenalan pakaian seragam baharu.
Ujar beliau, ia bukan sekadar perubahan rupa tetapi pernyataan keyakinan bahawa pengakap bersedia menghadapi cabaran dengan wajah, tenaga dan aspirasi baharu.

“Peralihan pakaian seragam daripada warna kelabu kepada ‘emerald sea’ akan dilaksanakan secara berfasa, teratur dan penuh penghormatan terhadap warisan.
“Warna kelabu melambangkan sejarah yang membina kita. Manakala warna baru ‘emerald sea’ membawa semangat pertumbuhan, keberanian dan pembaharuan.
“Ini bukan sekadar pertukaran warna tetapi peralihan zaman, menghubungkan legasi lebih seabad dengan wajah baru Pengakap Malaysia yang bersedia memimpin untuk masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, Pengakap Malaysia juga berjaya mencatatkan pelbagai kejayaan antaranya dinobatkan sebagai organisasi bukan kerajaan (NGO) Terbaik Kategori Badan-Badan Beruniform pada Anugerah Perdana NGO Malaysia Disember 2025.
Kata beliau, keupayaan warga Pengakap Malaysia turut terukir melalui 10 pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records pada Oktober tahun lalu.
“Tahun 2026 menandakan genap 100 tahun Pengakap Perak. Sepanjang satu abad yang lalu, Pengakap Perak terus menjadi wadah pendidikan nonformal yang menyemai disiplin, kemahiran, keberanian, semangat berdikari serta kecintaan terhadap negara.
“Pingat ini melambangkan seabad bakti Pengakap Perak dan amanah untuk meneruskan khidmat kepada negara,” ujarnya.

Pada istiadat, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja kepada 239 penerima.
Mengetuai senarai penerima, Ketua Kwartir Daerah Istimewa Yogyakarta, Gusti Kanjeng Ratu Mangkubumi Hamemayu Hayuning Bawono Langgeng ing Mataram yang menerima Bintang Semangat Rimba Emas.
Bintang berkenaan adalah adalah anugerah ketiga tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia yang hanya disampaikan kepada tokoh-tokoh yang telah memberi perkhidmatan dan bakti yang amat terpuji kepada pergerakan Pengakap.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar serta Ketua Pesuruhjaya Pengakap Pulau Pinang, Datuk Zulkafli Kamaruddin pula menjadi antara tujuh penerima Bintang Seri Maharaja Lela – Emas.
Bintang berkenaan adalah anugerah tertinggi Pengakap Negeri Perak yang mana ia dianugerahkan kepada Exco Kerajaan Negeri, Majlis Pengakap Negeri Perak dan Orang kenamaan Kehormat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


