IPOH – Kerajaan negeri Perak mengarahkan jabatan dan agensi teknikal berkaitan menjalankan semakan terperinci terhadap kaedah operasi di sebuah tapak kuari batu kapur di Mukim Kampung Buaya, Kuala Kangsar susulan isu berkenaan tular di media sosial baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semakan itu penting bagi memastikan kaedah perlombongan yang digunakan mematuhi syarat serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Katanya, agensi yang diarahkan untuk berbuat demikian adalah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
“Kita tidak pastikan bila rakaman sebenar itu diambil, namun kerajaan negeri ambil maklum dan minta laporan kajian disediakan.
“Oleh itu, saya telah meminta agensi-agensi berkaitan membuat semakan bagi memastikan semua syarat tersebut masih dipatuhi sepenuhnya.
“Ini kerana, setiap operasi kuari masih tertakluk kepada pelbagai syarat teknikal, keselamatan dan alam sekitar yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-9 di Galasa Caldwell di sini pada Sabtu.
Saarani sebelum itu diminta mengulas video tular memaparkan keadaan sebuah bukit yang didakwa telah terjejas bagi tujuan perlombongan batu kapur.
Video yang dipercayai dirakam dari udara itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga net berhubung status operasi di kawasan kuari berkenaan.
Mengulas lanjut Saarani menjelaskan, aktiviti kuari tertakluk kepada pelbagai syarat termasuk Surat Kebenaran Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) dan Kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) sepanjang tempoh operasi.
Malah kata beliau, hasil semakan awal mendapati operasi pengkuarian di kawasan tersebut dijalankan di atas tanah yang mempunyai lesen melombong yang telah diluluskan kerajaan sejak dahulu lagi.
“Ia telah mendapat lesen untuk menjalankan aktiviti berkenaan daripada kerajaan sejak daripada dahulu lagi yang mana syarikat di situ sebelum ini dikenali dengan nama lain.
“Dan daripada segi perundangan, ia dijalankan mengikut undang-undang dan bukan aktiviti perlombongan haram,” katanya.
Mengulas lanjut, Saarani memberitahu, kaedah perlombongan yang dijalankan di kawasan kuari itu berbeza berbanding kaedah lazim di lokasi lain seperti di Simpang Pulai.
Kata beliau, teknik yang digunakan melibatkan kaedah tertingkat atau ‘benching’ yang mana ia lebih selamat kerana dapat menstabilkan cerun di kawasan kerja kuari.
“Kaedah ini memang wujud dan turut digunakan di banyak negara mengikut kesesuaian bentuk muka bumi serta pelan kuari yang diluluskan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PTG Perak diarah siasat dakwaan aktiviti kuari jejas penduduk


