IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga bintang terkenal tanah air, Datuk M Daud Kilau, yang meninggal dunia pada Isnin.
Menerusi satu hantaran pada laman Facebook, Saarani turut menyifatkan pelantun lagu Cek Mek Molek itu sebagai penyanyi legenda tanah air.
“Allahyarham adalah penyanyi legenda tanah air yang berasal dari Bagan Datuk. Jasanya begitu besar dalam industri muzik Malaysia.
“Salam takziah saya ucapkan dan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian ini,” katanya melalui hantaran itu, pada Isnin.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan permata seni tanah air buat negara.
Malah, Ahmad Zahid juga menyifatkan M Daud Kilau sebagai anak seni yang berbakat dan berjiwa besar.
“Sebagai anak jati Bagan Datuk, karya seni beliau bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat di sini, tetapi juga di seluruh negara.
“Kehilangan beliau adalah suatu yang mengejutkan dan tiada gantinya,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook.
M Daud Kilau atau nama sebenarnya, Muhammad Daud Kilau meninggal dunia pada usia 85 tahun di Hospital Teluk Intan sekitar jam 4.40 petang Isnin.
Penyanyi yang mendapat julukan Raja Gelek itu berdepan masalah kesihatan sejak enam tahun lalu dan pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lepas.
Kali terakhir beliau beraksi di pentas adalah sekitar tujuh tahun lalu dan selepas itu tidak lagi aktif biarpun masih menerima jemputan untuk membuat persembahan.
Jasa dan sumbangannya kepada dunia seni tanah air terbalas apabila beliau dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1991. -MG Perak
Artikel Berkaitan: