Memorial Muzium KD Hang Tuah bakal dibuka 2027

LUMUT – Memorial Muzium Kapal Diraja (KD) Hang Tuah yang bakal menjadi mercu tanda sejarah baharu di Perak disasarkan siap serta dibuka kepada orang ramai pada tahun 2027.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek tersebut adalah hasil kolaborasi antara Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dan Aero Art Sdn Bhd menerusi pendekatan kerjasama awam-swasta.

Menurutnya, fasa pertama pembangunan memorial muzium tersebut melibatkan kos RM30 juta yang merangkumi kerja renovasi dan kurasi.

“Kerajaan Negeri hari ini menerima Kapal Ex-Hang Tuah daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk dibangunkan sebagai Memorial Muzium KD Hang Tuah yang menggabungkan elemen pemuliharaan sejarah, pendidikan, pelancongan dan pembangunan komuniti.

“Penerimaan kapal yang telah berkhidmat hampir lima dekad ini membuka ruang kepada kerajaan negeri memelihara aset penting warisan maritim negara supaya sejarah serta sumbangannya dapat terus dikenali dan dihayati oleh generasi akan datang,” katanya kepada pemberita.

“Pembukaannya bergantung kepada perkembangan perbincangan di antara MB Inc dengan Aero Art. Ada banyak perkara yang perlu kita lihat terutama tapak yang berkaitan, kesesuaiannya. Kita jangka inshaAllah pada tahun 2027 kita sudah boleh beroperasi.

“Bagi fasa pertama kita akan belanjakan RM30 juta yang melibatkan kerja-kerja renovasi dan kurasi,  selepas itu kita akan sediakan tapak di Marina Wing.

Memorial Muzium KD Hang Tuah bakal dibuka 2027
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika hadir pada Majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada Kerajaan Negeri Perak di Pangkalan TLDM Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF 27 JULAI 2026.

“Itu akan melibatkan sebahagian besar daripada kos tersebut dan kemudiannya kita ada fasa kedua dan fasa ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada TLDM kepada Kerajaan Negeri Perak di Himpitan 1, Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) Datuk Anuar Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Saarani memaklumkan bahawa pembangunan ini juga dirancang untuk menghidupkan semula kawasan Marina Wing dan Esplanade di Lumut melalui pertambahan kehadiran pengunjung, kegiatan perniagaan serta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Usaha ini selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberikan penekanan kepada pembangunan yang dapat merancakkan ekonomi setempat, memperluas peluang pendapatan dan membawa manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Konsep pelancongan ketenteraan yang diketengahkan melalui projek ini akan menambah kepelbagaian produk pelancongan maritim Perak serta menjadi tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan warga TLDM dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri yakin pembangunan  memorial tersebut akan menjadi tarikan penting di Lumut dan Manjung serta memperkukuh kedudukan Lumut sebagai bandar maritim utama negara yang menghubungkan warisan pertahanan laut dengan perkembangan sektor pelancongan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lima dekad berbakti, KD Hang Tuah dilucut tauliah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI