BATU GAJAH – Perak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab industri elektrik dan elektronik (E&E) negara apabila berjaya menarik pelaburan asing bernilai AS$50 juta atau lebih RM200 juta menerusi pengoperasian syarikat pakar ujian semikonduktor dari Korea Selatan, K-Test Co. Ltd. (K-Test).
Pelaburan itu bakal direalisasikan menerusi fasa pertama pembinaan kilang baharu K-Test Malaysia yang dijangka siap dinaik taraf dan memulakan operasi pada suku pertama tahun hadapan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, kemasukan syarikat itu melengkapkan lagi rantaian bekalan industri E&E di negeri ini kerana K-Test merupakan antara pembekal kepada beberapa syarikat utama yang telah beroperasi di negeri ini.

Katanya, walaupun industri E&E lazimnya tertumpu di negeri-negeri utara Semenanjung, namun Perak memiliki kelebihan tersendiri dengan kewujudan beberapa syarikat utama dalam sektor berkenaan di samping mempunyai kelebihan daripada kestabilan tenaga kerja.
“Antara faktor utama kepada pemilihan Perak oleh syarikat berkenaan adalah kestabilan sumber manusia di negeri ini. Kadar pertukaran syarikat dalam kalangan tenaga kerja di sini adalah lebih rendah berbanding di negeri lain khususnya di utara Semenanjung.
“Jika lihat di tempat lain, persaingan antara syarikat menyebabkan pergerakan tenaga kerja agak tinggi dan menjadikan operasi di sesebuah syarikat kurang stabil dan situasi seperti itu jarang berlaku di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Syarikat K-Test Malaysia Perak di Kawasan Perindustrian Pengkalan 4, Pusing di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Dr. Ahmad Shahir Abdul Aziz, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Perak, Dyrul Syahrytz Mohd. Daud serta Ketua Pegawai Eksekutif K-Test Malaysia, Brandon Lee.
Sze Yee, nilai pelaburan yang dibawa syarikat berkenaan turut akan memberi manfaat kepada rakyat Perak apabila di dijangka akan mewujudkan kira-kira 100 peluang pekerjaan baharu untuk warga tempatan.
“Kerajaan negeri komited untuk menyokong para pelabur dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, memperkukuh infrastruktur, memudah cara proses pelaburan serta membangunkan bakat bagi memenuhi keperluan industri bernilai tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Shahir berkata, K-Test merupakan syarikat dari Korea Selatan pertama yang berjaya dibawa masuk ke Perak dalam sektor semikonduktor.
Beliau berkata, syarikat itu akan menjalankan aktiviti ‘Outsourced Semiconductor Assembly and Test (OSAT)’, iaitu perkhidmatan ujian dan pembungkusan semikonduktor yang menjadi sebahagian daripada aktiviti hiliran dalam industri berkenaan.
“K-Test akan menyediakan perkhidmatan ujian OSAT kepada pelanggan industri di Malaysia serta pasaran antarabangsa termasuk Taiwan, Korea Selatan dan negara-negara lain.
“Ketika rantaian bekalan global semakin dipelbagaikan dan permintaan terhadap kapasiti semikonduktor terus meningkat, Perak berada pada kedudukan yang amat baik untuk memainkan lebih besar dalam pertumbuhan industri semikonduktor serta E&E negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lee berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab semikonduktor yang kompetitif pada masa hadapan, sekali gus menjadi faktor utama syarikat itu memilih negara ini sebagai lokasi pelaburan.
Beliau berkata, syarikat turut merancang membangunkan bakat tempatan melalui program latihan di Korea Selatan serta pelaksanaan program pertukaran tenaga kerja secara berkala.
“Kami akan mengambil pekerja tempatan dan menghantar mereka ke Korea Selatan secara berperingkat untuk menjalani latihan sebelum kembali berkhidmat di Malaysia.
“Pada masa sama, jurutera berpengalaman dari Korea Selatan juga akan ditempatkan di sini bagi membimbing pekerja tempatan, dengan sasaran jangka panjang untuk melaksanakan pemindahan kepakaran sepenuhnya kepada tenaga kerja tempatan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
REE: Syarikat Korea minat jalan kerjasama -Saarani


