KKR jamin keselamatan bangunan sekolah modular, siap ikut jadual

LUMUT – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan projek pembinaan bilik darjah jenis kabin atau Modular Precast System (MPS) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara disiapkan mengikut jadual tanpa menjejaskan aspek kualiti dan keselamatan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bagi pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sebanyak 29 projek melibatkan pembinaan bilik darjah kabin dan dewan serbaguna terbuka di Perak dengan nilai keseluruhan RM34.2 juta.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 25 projek kini sedang dalam pembinaan manakala empat lagi berada pada peringkat perancangan dan kesemuanya perlu disiapkan sebelum Disember ini.

KKR jamin keselamatan bangunan sekolah modular, siap ikut jadual ditetapkan
Projek pembinaan bangunan prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera, Manjung. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OGOS 2026

“Sekolah dalam bentuk kabin dan dewan serbaguna terbuka ini adalah untuk kita membantu sekolah-sekolah murid Tahun Satu apabila kita bertukar polisi kepada enam tahun maka kita perlukan kelas-kelas tambahan.

“Jadi kita perlu menyediakan dengan pantas, siap bulan Disember ini. Kaedah kebanyakannya guna MPS sekolah modular berbentuk kabin tetapi lengkap dan kukuh dan berkualiti.

“Kualitinya tetap sama, kualiti tetap kukuh. Tidak ada sebab kenapa kita tidak percaya kepada kaedah yang kita gunakan.

“Oleh itu dengan teknologi yang ada sekarang bangunan boleh disiapkan awal tanpa menjejaskan kualiti dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan bangunan prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera, Manjung di sini hari ini.

KKR jamin keselamatan bangunan sekolah modular, siap ikut jadual ditetapkan
Projek pembinaan bangunan prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera, Manjung. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OGOS 2026

Dalam pada itu, Ahmad berkata, projek pembinaan bangunan prasekolah SK Seri Samudera, Manjung yang melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan asas berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual ditetapkan.

Katanya, projek tersebut merangkumi pembinaan dua bilik darjah, satu bilik ruang makan, satu bilik penyediaan makanan, satu bilik suis, satu bilik utiliti, satu tandas guru, dua tandas murid, dua ruang wuduk, satu covered walkway serta sebuah taman permainan.

“Projek prasekolah yang menelan kos RM2.29 juta itu berjaya disiapkan 53 hari lebih awal daripada tempoh yang dijadualkan.

“Saya dah sebut tadi bahawa projek ahead of time menguntungkan tiga pihak. Pihak kontraktor yang dapat mengurangkan kos, pihak kerajaan yang tidak akan terkena bayaran-bayaran tambahan tuntutan akibat daripada extension of time (EOT) dan menguntungkan rakyat yang dapat fasiliti lebih awal daripada jangkaan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

193 sekolah padat dibina bilik darjah tambahan – Fadhlina

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI