Jangan dibuai nostalgia, perjuangan bina Malaysia belum selesai – Fuziah

KUALA LUMPUR – Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta supaya tidak cepat dibuai nostalgia atau selesa dengan kejayaan parti termasuk pelantikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerana agenda membina negara yang lebih baik dan berintegriti belum selesai.

Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata meskipun parti itu kini berjaya menerajui kerajaan, perjalanan lebih dua dekad yang dilalui sarat dengan pelbagai iktibar, ujian dan kekalahan sepatutnya terus mematangkan perjuangan.

“Mengimbau jatuh bangun parti, KEADILAN mengajar kita bahawa perjuangan ini tidak pernah memilih jalan yang mudah. Namun, kita juga tidak boleh terus terperangkap dengan nostalgia dan kejayaan lampau.

“Setiap ujian mematangkan kita, setiap kekalahan membuka ruang untuk bermuhasabah dan setiap cabaran mengingatkan kita bahawa perjuangan membina sebuah Malaysia yang lebih baik masih belum selesai,” katanya.

Fuziah berkata demikian menerusi hantaran Facebook hari ini sempena ulang tahun detik bersejarah penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 3 Ogos 2003 bagi membentuk PKR.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR pertama berkata penyatuan yang digerakkan bersama-sama bekas Presiden PRM Profesor Dr Syed Husin Ali dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu bukan sekadar melahirkan sebuah wadah politik baharu, sebaliknya memikul cita-cita besar rakyat.

Mengimbau cabaran awal parti, Fuziah berkata PKR pernah menerima tamparan hebat pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 apabila hanya mampu meraih satu kerusi Parlimen sehingga dikecam tidak akan bertahan lama.

Bagaimanapun, kebangkitan parti itu terbukti menerusi keputusan PRU 2008 yang berjaya menafikan majoriti dua pertiga kerajaan sebelum melalui pelbagai fasa ujian merangkumi fitnah, tekanan dan perpecahan internal, sehinggalah Presiden parti itu diangkat sebagai Perdana Menteri.

Menerusi hantaran itu, Fuziah turut merakamkan penghormatan kepada tokoh awal parti yang telah meninggal dunia dan menyifatkan pengorbanan mereka akan kekal sebagai warisan perjuangan.

“Selamat ulang tahun KEADILAN. Semoga parti ini terus teguh mempertahankan prinsip reformasi dan keadilan untuk semua,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI