LUMUT – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Selasa.
Keberangkatan tiba baginda ke majlis perasmian diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pada majlis, Sultan Nazrin berkenan melafazkan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian, sebelum melawat pameran, disusuli majlis santapan.
Manjung merupakan antara daerah yang sedang pesat membangun di Perak selain merupakan hab pelancongan dan industri.
Oleh itu, tercetusnya idea untuk menaik taraf Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung kepada Pusat Konvensyen yang mampu menampung keperluan aktiviti masyarakat yang menerapkan elemen tradisional dan moden serta menjadi sebuah bangunan ikonik di daerah Manjung.
Pembinaan semula sepenuhnya Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung di tapak sedia ada merupakan inisiatif Zambry ketika beliau menjawat jawatan Menteri Besar Perak pada 2016.
Atas komitmen beliau, bangunan lama disyorkan untuk diruntuhkan bagi menggantikan sebuah struktur baharu yang lebih sempurna.
Usaha ini direalisasikan menerusi pengumuman peruntukan sebanyak RM12.7 juta oleh Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan kerja ke daerah Manjung pada 7 Ogos 2016, sekali gus menyediakan sebuah dewan yang serba moden, selesa dan berdaya saing.
Secara keseluruhannya, Dewan Merdeka mengangkat konsep ‘Warisan dalam Kemodenan’ dengan ciri utama reka bentuk rumah kutai, iaitu sebuah bangunan yang mengekalkan roh seni bina Melayu melalui bentuk bumbung, warna dan elemen hiasan tradisional, sambil memenuhi keperluan sebuah pusat konvensyen moden dari segi fungsi, kapasiti dan keselesaan.
Reka bentuk ini menjadikan Dewan Merdeka bukan sekadar sebuah dewan serbaguna, malah sebuah mercu tanda ikonik yang mencerminkan identiti Majlis Perbandaran Manjung sebagai sebuah PBT yang progresif, menghargai warisan dan sentiasa bergerak ke hadapan. -MG Perak


