PARIT BUNTAR – Jabatan Perikanan Perak akan menjalankan siasatan lanjut susulan penularan video dipercayai ikan lumba-lumba Irrawaddy yang mati terdampar di kawasan Ban Pecah, Tanjung Piandang, di sini.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi video yang tular di media sosial dan percaya insiden tersebut baru sahaja berlaku.
“Pegawai kami akan ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut. Sekiranya benar, kami akan mengambil bangkai haiwan itu bagi tujuan analisis lanjut untuk mengesan punca kematian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi 27 saat di media sosial memaparkan bangkai seekor lumba-lumba Irrawaddy di pesisir pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang sehingga menarik perhatian orang ramai.
Spesies lumba-lumba Irrawaddy atau Orcaella brevirostris adalah mamalia marin yang jarang ditemui dan dilindungi, dengan ancaman utama termasuk terperangkap dalam pukat, pelanggaran bot serta kemerosotan habitat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
LKIM salur bantuan RM194,973 kepada nelayan Perak zon tengah dan selatan


