LUMUT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan peruntukkan berjumlah RM194,973 kepada komuniti nelayan di Manjung Utara, Manjung Selatan, Pulau Pangkor dan Hilir Perak.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, LKIM terus komited memperkasa komuniti nelayan menerusi pelaksanaan Program Peningkatan Pendapatan Touch Point yang merupakan salah satu inisiatif bagi mendekati golongan sasar khususnya nelayan.
Menurut beliau, penyerahan bantuan itu bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan kategori B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan, sekali gus memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan mereka.
“Bantuan tersebut juga diharap dapat meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan dalam usaha memperkukuh produktiviti sektor perikanan negara.
“LKIM sentiasa komited dalam membantu meringankan beban golongan nelayan melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan, di samping memastikan kesejahteraan nelayan terus terpelihara serta sekuriti makanan negara sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Perak Zon Tengah dan Selatan di Dewan Serbaguna LKIM Perak, di Manjung pada Khamis.
Hadir sama Ketua Pengarah LKIM, Dr Abdul Salim Tajudin dan Pengarah LKIM Negeri Perak, Ahmad Zulkifli Ismail.
Pada majlis berkenaan Muhammad Faiz menyampaikan bantuan peralatan penangkapan ikan kepada 47 nelayan berupa lima unit enjin sangkut 40 kuasa kuda; satu unit enjin sangkut 30 kuasa kuda; tiga unit enjin sangkut 15 kuasa kuda; 19 set pukat dan 19 unit sonar berjumlah RM184,473.
Selain itu, beliau turut menyampaikan Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan berjumlah RM10,500.00 kepada empat orang nelayan melibatkan ahli PNK Manjung Utara (RM9,000.00) dan PNK Manjung Selatan (RM1,500.00). -MG Perak


