IPOH – Seorang juruteknik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh berusia 41 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya itu sejak berusia 10 sehingga 12 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar dalam daerah Perak Tengah pada beberapa tarikh dalam Mei 2023, Mei 2024 dan April 2025.
Sebanyak enam pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta berkenaan kerana wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan manakala di bawah Seksyen 16(1) akta sama, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta minimum dua sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Aliff Aiman Rusli.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh. Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan tertuduh dijamin, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua orang penjamin warga tempatan.
Selain itu, Nor Arfahanim turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu atau menghubungi mangsa serta saksi pendakwaan, selain dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Dalam pada itu, Aliff Aiman dalam mitigasi rayuannya memohon supaya tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 bagi kesemua pertuduhan dengan alasan perlu menyara ibunya yang berusia 70 tahun dan isterinya yang merupakan suri rumah.
Menurutnya, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM2,400 sebulan serta menghidap penyakit strok ringan (minor stroke).
Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau serta telah menyerah diri secara sukarela di balai polis.
“Tertuduh kini menetap bersama ibunya manakala mangsa telah ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sekali gus menyebabkan tiada ruang atau peluang untuk tertuduh mengganggu mangsa atau saksi-saksi lain.
“Jaminan bukanlah suatu bentuk hukuman, sebaliknya bertujuan memastikan kehadiran tertuduh sepanjang prosiding mahkamah. Tertuduh juga, bersedia mematuhi segala syarat tambahan yang akan dikenakan oleh mahkamah sekiranya dibenarkan diikat jamin,” ujarnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan yang bukan dalam kalangan ahli keluarga.
Pada masa yang sama, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan serta dilarang mendekati mangsa, ibu mangsa, ahli keluarga atau mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemandu lori didakwa 21 pertuduhan cabul dua anak kandung


