IPOH – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Khamis atas 21 pertuduhan mencabul dua anak perempuan kandungnya, sejak April lalu.
Tertuduh yang berusia 41 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal iaitu bagi maksud seksual kepada kanak-kanak perempuan berusia 13 dan 16 tahun yang mana tertuduh merupakan bapa kandung kepada mereka.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Seri Iskandar, dalam daerah Perak Tengah, antara minggu pertama April hingga 26 Julai 2026.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d), Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta serupa.
Jika sabit kesalahan, di bawah Seksyen 14, tertuduh boleh dikenakan penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dihukum dengan sebat, sementara Seksyen 16 memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun dan hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang dua kali.
Timbalan Pendakwa Raya Monisha Pandey, tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, namun jika mahkamah membenarkan jaminan atas budi bicara beliau memohon syarat tambahan terhadap tertuduh.
Syarat tambahan berkenaan adalah dua penjamin bukan dalam kalangan ahli keluarga, tidak menanggu mahupun menghubungi mangsa dan saksi pendakwaan, serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Tertuduh yang masih berkahwin dan tidak diwakili peguam itu merayu agar ditawarkan kadar jaminan minimum atas alasan perlu menanggung semua anak, isteri dan emak dengan gaji sebanyak RM2,500.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,750 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin bukan dalam kalangan ahli keluarga.
Selain itu mahkamah turut membenarkan syarat tambahan yang mana lelaki itu perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran di samping, tidak perlu mengganggu mangsa, ahli keluarga dan saksi sehingga kes selesai.
14 September depan kemudian ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes dan untuk lantikan peguam.
Difahamkan dua mangsa merupakan anak sulung dan kedua daripada tiga beradik sementara isteri tertuduh merupakan seorang penjawat awam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


