Sokongan kolektif resipi kejayaan Muhammad Fawwaz Haiqal di Kejohanan Dunia Adobe

TANJUNG MALIM – Penguasaan teknologi digital bukan sahaja perlu memerlukan kreativiti, pemikiran strategik dan kebolehan memahami kehendak pelanggan, malah sokongan secara kolektif sebagai penguat semangat untuk berjuang di pentas antarabangsa.

Ini dibuktikan menerusi kejayaan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Maklumat) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad, yang meraih tempat ketiga dalam 2026 Adobe Certified Professional World Championship di Anaheim, California baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Acestar Sdn Bhd merangkap pengasas Creative Cloud Community (CCC), Natalie Sit, menyifatkan edisi 2026 sebagai pencapaian terbaik.

“Kejayaan tersebut mencerminkan bahawa pembangunan bakat bertaraf antarabangsa memerlukan sokongan kolektif antara universiti, industri, pembimbing dan pihak penganjur,” katanya.

Menurutnya, Acestar adalah penganjur rasmi Kejohanan Peringkat Kebangsaan Adobe Certified Professional (ACP) 2026 anjuran CCC.

Katanya, syarikat yang juga penaja juara kebangsaan, Muhammad Fawwaz Haiqal, berjaya membawa lima bakat Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, tiga peserta bertanding dalam kategori ACP, manakala dua lagi menyertai kategori Microsoft Office Specialist (MOS).

“Tempat pertama kejohanan ACP 2026 dimenangi Lulu Emanuele dari Amerika Syarikat, diikuti Furtini Baldesin dari Brazil di tempat kedua, manakala Fawwaz dan Nafiz dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.

“Nafiz turut memenangi anugerah People’s Choice Award, sekali gus menyaksikan dua wakil Malaysia berada dalam kelompok empat peserta terbaik dunia,” ujarnya.

Sementara itu, jurulatih Muhammad Fawwaz Haiqal merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (FKMT), Ahmad Nurzid Rosli berkata, pencapaian itu adalah hasil proses pembangunan bakat yang dilaksanakan secara berperingkat, berstruktur dan konsisten.

“Pingat ini adalah satu pencapaian membanggakan dalam membangunkan bakat digital yang mampu berfikir daripada perspektif pelanggan dan menghasilkan reka bentuk yang mempunyai tujuan.

“Latihan tidak hanya tertumpu kepada penguasaan teknikal dalam Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign, malah merangkumi prinsip reka bentuk, tipografi, hierarki visual, pemilihan warna, pengurusan ruang serta penyampaian mesej yang berkesan,” jelasnya.

Berkongsi pengalamannya, Muhammad Fawwaz Haiqal berkata, pendekatan latihan tersebut membantunya menggunakan aplikasi digital secara lebih strategik dan bukan sekadar menghasilkan karya yang kelihatan menarik.

“Dalam pertandingan dunia tahun ini, peserta diberikan tugasan berasaskan tema ‘My Life Is Worth Living’, sebuah inisiatif oleh organisasi bukan berasaskan keuntungan, Cook Center for Human Connection, yang mengetengahkan isu kesihatan mental dan kesejahteraan golongan muda,” katanya.

Dia yang turut mendapat bimbingan Nur Saadah Fathil menghasilkan reka bentuk berasaskan kisah Danny, seorang remaja yang berusaha membina semula kehidupannya selepas mengalami kemalangan yang memberi kesan terhadap keadaan fizikal dan emosinya.

Kisah yang menarik perhatian juri itu mengetengahkan isu pemikiran negatif, kemurungan, trauma, kebimbangan dan perasaan mengecewakan keluarga, selain menekankan kepentingan sokongan individu di sekeliling, komunikasi keluarga, pemikiran positif, pelan keselamatan serta proses menyesuaikan diri dengan ‘normal baharu’. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelajar UPSI lakar sejarah raih tempat ketiga Kejohanan Dunia Adobe

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI