TANJUNG MALIM – Pelajar Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi (META), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah apabila berjaya meraih tempat ketiga pada Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional (ACP) yang berlangsung di Anaheim, California, Amerika Syarikat, semalam.
Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad, yang mengikuti Program Pendidikan (Teknologi Maklumat) di universiti berkenaan adalah antara 203 peserta dari 45 negara yang menyertai kejohanan anjuran Certiport International itu.
Kemenangan itu sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD2,000 (RM8,181.60).
Pertandingan tersebut menguji kemahiran peserta menghasilkan reka bentuk poster kreatif menggunakan perisian Adobe Photoshop, Adobe Illustrator dan Adobe InDesign.
Pencapaian cemerlang Muhammad Fawwaz turut didukung oleh bimbingan pensyarah Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti META, Ahmad Nurzid Rosli.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kejayaan pelajar terbabit bukan sahaja menyerlahkan keupayaan luar biasanya dalam pertandingan tersebut, malah turut mengangkat nama UPSI dan Malaysia sebagai lubuk bakat digital bertaraf dunia.
“UPSI akan terus melahirkan bakat digital bertaraf antarabangsa melalui latihan dan pensijilan profesional, manakala di peringkat negara.
“Kami berharap lebih banyak institusi bersama-sama memperkukuh pembangunan bakat digital demi menjadikan Malaysia sebagai antara peneraju kreativiti dan inovasi digital di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengurus Kontijen Malaysia, Natalie Sit, menyifatkan edisi 2026 sebagai pencapaian terbaik kontinjen negara dalam kejohanan berkenaan.
Menurutnya, buat pertama kalinya Malaysia meraih tiga pengiktirafan utama, iaitu tempat ketiga yang dimenangi Muhammad Fawwaz manakala tempat keempat serta anugerah People’s Choice Awards yang diraih Muhammad Nafiz Asyraaf Mohd Nazrin dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak.
Kejayaan tersebut adalah tahun kelima kontinjen Malaysia berjaya menamatkan saingan di kedudukan podium pada kejohanan yang berprestij itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
WEZAS UPSI santuni waris kakitangan, salur bantuan pelajar di Johor


