TANJUNG MALIM – Pusat Zakat, Endowmen, Wakaf, Khairat dan Sedekah (WEZAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyampaikan sumbangan khairat kematian berjumlah RM11,270 kepada waris Allahyarhamah Norhayati Nasir di kediaman keluarganya di Tangkak, Johor, baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan wakil WEZAS, Abd Ghani Mansor bersama Ustaz Ahmad Sadadi Hafidz kepada bapa Allahyarhamah, Nasir Saad sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap keluarga terbabit di samping menzahirkan sokongan moral kepada waris
Nasir meluahkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan UPSI melalui WEZAS terhadap anaknya yang telah menabur bakti kepada universiti tersebut selama 22 tahun.
“Dia seorang anak yang ceria, lebih-lebih lagi apabila berkumpul bersama keluarga. Sebagai anak sulung, arwah sangat mesra dengan adik-beradiknya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada UPSI kerana sudi hadir menziarahi kami dan menyampaikan sumbangan khairat ini,” katanya.
Menurutnya, Norhayati disahkan menghidap penyakit diabetes pada tahun 2006 sebelum mengalami kegagalan buah pinggang kronik yang memerlukan rawatan dialisis bermula pada tahun 2014.
Tambahnya, keadaan kesihatan anaknya itu semakin merosot apabila kaki kiri terpaksa dipotong pada penghujung tahun 2024, diikuti kaki kanan pada Mei lalu akibat komplikasi penyakit. “Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada 18 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur pada usia 46 tahun,” ujarnya.

Abd Ghani berkata, penyampaian khairat kematian bukan sekadar bantuan kewangan, malah merupakan manifestasi nilai ihsan dan kebersamaan yang sentiasa menjadi teras universiti dalam menyantuni warga serta keluarga mereka ketika berdepan ujian kehidupan.
“Melalui inisiatif kebajikan yang dilaksanakan secara berterusan, WEZAS komited memastikan kebajikan warga UPSI terus dipelihara, sekali gus memperkukuh budaya saling membantu dan menyemai semangat kasih sayang dalam komuniti universiti,” jelasnya.
Dalam pada itu, WEZAS turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar semester empat Diploma Pengajian Turath Islami, Muhammad Danish Ramadhan yang menetap di Simpang Renggam.
Menurut Abd Ghani, ziarah tersebut antara pendekatan proaktif WEZAS dalam mengenal pasti keperluan sebenar pelajar asnaf selain memastikan setiap bantuan zakat disalurkan secara bersasar, telus dan memberi impak langsung kepada penerima.
“Sumbangan tersebut untuk menampung yuran pengajian dan penginapan manakala selebihnya ditanggung ibunya, Hellye Mallyiza Abu Bakar, 46.
Sementara itu, Hellye Mallyiza, yang juga ibu tunggal, anak sulungnya itu tidak pernah banyak mengeluh mengenai kesempitan hidup yang dihadapi kerana tidak mahu membebankan keluarga serta bimbang menjejaskan persekolahan adiknya yang kini berada di Tingkatan Lima. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


