JV komponen kritikal bukti pembekal tempatan setanding pemain asing

TANJUNG MALIM – Kerjasama usaha sama (JV) antara pemain asing dan pembekal tempatan bukan perkara baharu dalam ekosistem automotif terpilih Proton Holdings Bhd (Proton), namun kolaborasi terbaharu dilihat istimewa kerana membabitkan pengeluaran komponen keselamatan dan kritikal.

Naib Presiden Bahagian Projek Strategik Proton, Ainol Azmil Abu Bakar berkata, sebanyak 10 JV telah diwujudkan hasil pelaburan langsung asing, manakala lima lagi sedang menunggu permulaan operasi dan satu lagi masih dalam perancangan.

“Kita boleh kata ia sekadar satu lagi JV sebab kita dah banyak buat JV antara pemain asing dengan pembekal tempatan ini.

“Tetapi kali ini bagi saya yang ini agak istimewalah pasal ini antara JV yang melibatkan komponen keselamatan atau safety item.

“Komponen keselamatan dan kritikal ini, kita ada kesukaran sebab selalunya pemain asing ni bila barang kritikal, mereka tidak mahu JV dengan orang tempatan kerana mereka rasa kita tak kompeten.

“Jadi dalam kes ini, kita dapat buktikan kepada pemain asing bahawa orang di sini adalah rakan kongsi yang kompeten.

“Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kompetensi pembekal tempatan berkaitan dengan komponen kritikal,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Fasiliti Pemasangan Komponen Casis di kilang Peps Sanly JV Sdn Bhd di Proton City, di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee yang turut dihadiri, Pengarah Peps Sanly JV Sdn Bhd, Hamidon Abdullah.

Ainol Azmil berkata, kerjasama EPMB bersama Proton turut menjadi antara faktor yang mengukuhkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat berkenaan dalam menghasilkan komponen yang diperlukan.

“Apa-apa pun, kita mempunyai sejarah yang sangat panjang antara satu sama lain. Jadi kita selesa bekerjasama dan mereka telah membuktikan selama ini keupayaan mereka.

“Bagi saya hari ini adalah satu kisah gembiralah untuk Proton. Mungkin kemudian mereka boleh luaskan ini untuk pengeluar peralatan asal (OEM) lain di Malaysia.

“OEM lain mungkin iktiraf keupayaan mereka di sini, mungkin mereka bekerjasama dengan orang lain pula. Itu adalah satu pengakhiran cerita yang gembira bagi kita semua,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

EPMB lancar kilang casis hampir RM10 juta, tumpu pemasangan komponen Proton

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI