EPMB lancar kilang casis hampir RM10 juta, tumpu pemasangan komponen Proton

TANJUNG MALIM – EP Manufacturing Bhd (EPMB) di bawah Peps Sanly JV Sdn Bhd melabur hampir RM10 juta bagi membangunkan sebuah kilang pemasangan komponen casis di Lembah Teknologi Tinggi Automotif Malaysia (AHTV), di sini hari ini.

Kilang itu dibangunkan menerusi usaha sama EPMB dengan Sanly Auto Parts Co Ltd dari China yang mempunyai kepakaran dalam kerja logam, pemasangan dan sistem brek.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, fasiliti berkenaan akan menghasilkan komponen kritikal bagi untuk model terpilih Proton Holdings Bhd (Proton).

Menurutnya, pelaburan itu turut mengukuhkan kerjasama jangka panjang antara EPMB dan Proton yang telah terjalin hampir empat dekad.

EPMB buka kilang casis RM10 juta, tumpu pemasangan komponen Proton
Pekerja melakukan fasiliti pemasangan komponen casis Proton Saga di kilang Peps Sanly JV Sdn Bhd, Proton City, Tanjung Malim. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2026

“Hari ini yang direalisasikan cuma RM10 juta, tetapi kita ramalkan akan menjadi lebih daripada RM100 juta dalam tahun-tahun akan datang.

“Signifikasinya adalah penggabungan teknologi sangat penting dan pergerakan mereka ke Tanjung Malim juga sangat penting kerana ia menjadikan ekosistem di Tanjung Malim lebih sempurna supaya dapat membantu Proton untuk melancarkan operasi mereka.

“Apabila bercakap tentang pengeluaran, mereka perlukan setiap minit yang dipotong daripada semua logistik ini, supaya mereka dapat mengeluarkan barangan dengan lebih murah, lebih efektif dan juga lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Fasiliti Pemasangan Komponen Casis di kilang Peps Sanly JV Sdn Bhd, Proton City, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Peps Sanly JV Sdn Bhd, Hamidon Abdullah dan Naib Presiden Bahagian Projek Strategik Proton, Ainol Azmil Abu Bakar.

EPMB buka kilang casis RM10 juta, tumpu pemasangan komponen Proton
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee merasmikan Fasiliti Pemasangan Komponen Casis di kilang Peps Sanly JV Sdn Bhd, Proton City, Tanjung Malim. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2026

Dalam pada itu, beliau berkata, fasiliti tersebut dijangka memberi manfaat kepada ekosistem automotif di Tanjung Malim, khususnya dengan mendekatkan pengeluaran komponen kepada operasi Proton.

“Pelaburan tersebut juga dilihat mampu meningkatkan kecekapan rantaian bekalan melalui pengurangan masa dan kos logistik, sekali gus menyokong usaha pengeluar automotif meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi,” ujarnya.

Fasiliti tersebut dibangunkan di atas kawasan seluas 9,909 meter persegi dan mula beroperasi pada Oktober 2025 serta berkeupayaan menghasilkan 40,000 set kereta sebulan, atau sehingga 480,000 set kereta setahun.

Kilang tersebut mempunyai 74 orang pekerja sepenuh masa, dengan 100 peratus daripada tenaga kerjanya terdiri daripada pekerja tempatan.

Selain itu, fasiliti berkenaan akan melaksanakan pengeluaran tempatan bagi pemasangan penjuru kereta depan, rangka kecil dan gandar belakang untuk model AMA01, Persona dan Iriz, serta model AMA02 dan AMA05 keluaran PROTON yang akan datang.

EPMB buka kilang casis RM10 juta, tumpu pemasangan komponen Proton
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee merasmikan Fasiliti Pemasangan Komponen Casis di kilang Peps Sanly JV Sdn Bhd, Proton City, Tanjung Malim. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2026

Terdahulu, Loh dalam ucapannya memaklumkan Kerajaan Negeri Perak melalui InvestPerak akan terus bekerjasama rapat dengan pihak syarikat, agensi-agensi kerajaan Persekutuan yang berkaitan, pihak berkuasa tempatan serta pihak berkepentingan yang lain bagi menyediakan sokongan yang diperlukan dan memudah cara perkembangan pelaburan di negeri ini.

“Kami kekal komited dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif serta menyokong syarikat-syarikat yang memilih Perak sebagai destinasi pelaburan.

“Saya percaya bahawa perkembangan berterusan aktiviti berkaitan automotif di Tanjung Malim akan terus memperkukuhkan kedudukan Perak dalam ekosistem automotif Malaysia.

“Kehadiran syarikat seperti PEPS Sanly JV Sdn Bhd akan menyumbang kepada pengukuhan rantaian bekalan tempatan, pewujudan peluang pekerjaan serta menyokong pertumbuhan berterusan sektor pembuatan automotif di Perak dan Malaysia,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PM Lancar Kilang Kenderaan Elektrik (EV) Proton

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI