MB Perak sahkan setiausaha politik letak jawatan atas faktor kesihatan

IPOH – Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin meletakkan jawatan berkuat kuasa 17 Ogos lalu atas faktor masalah kesihatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan yang dihantar Ketua UMNO Cawangan Pekan Lenggong itu pada 10 Ogos lalu.

“Dia ada menulis surat kepada saya bertarikh 10 Ogos dan menyatakan dia mahu meletakkan jawatan yang berkuat kuasa 17 Ogos, jadi kita telah menerima peletakan jawatan beliau itu.

“Dia memberikan alasan (berkaitan masalah) kesihatan (yang dihadapi) dan memerlukan masa untuk mendapatkan rawatan (susulan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Invest In Perak Day 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan lndustri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Diminta mengulas berkenaan dakwaan yang mengaitkan Mohamad Hamidi dengan isu penyalahgunaan dadah, Saarani berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang andaian selagi tiada sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa.

“Saya pun baca (dakwaan itu) dalam media sosial, tetapi selagi tidak ada bukti daripada pihak berkuasa sama ada Jabatan Kesihatan atau polis, saya tidak mahu membuat apa-apa andaian,” katanya.

Pada masa sama, Saarani memberitahu, kekosongan kerusi bagi jawatan yang ditinggalkan Mohamad Hamidi itu akan digantikan pada masa yang bersesuaian.

“Kita akan ada masa, akan menggantilah,” ujarnya.

Sebelum ini tular di media sosial hantaran yang dimuat naik pengguna akaun Facebook Zaharin Mohd Yasin yang mendakwa Setiausaha Politik Menteri Besar Perak meletakkan jawatan selepas dikaitkan dengan isu penyalahgunaan dadah.

Mohamad Hamidi yang sebelum ini merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lenggong mula menggalas jawatan sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak pada 3 Januari 2023.

Pelantikan beliau ketika itu bagi menggantikan Datuk Sham Mat Sahat yang tidak menyambung tugas terhadap jawatan berkenaan sejak dilantik pada tahun 2020. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Nga Kor Ming arah Setiausaha Politik bantu keluarga mangsa nahas Teluk Intan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI