TELUK INTAN – Dua pelajar Kolej Komuniti Teluk Intan (KKTI) mencipta kejayaan membanggakan apabila masing-masing meraih pingat emas dan perak pada Pertandingan Kemahiran Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCCSkills) 2026, baru-baru ini.
Pelajar Semester Tiga program Sijil Animasi 3D, Aiman Mohd Razali muncul juara selepas merangkul pingat emas dalam kategori 3D Animation, manakala Nor Syahirah Muhammad Adhwa Afiq membawa pulang pingat perak bagi kategori 3D Digital Game Art.
Pencapaian itu sekali gus membuktikan keupayaan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kolej Komuniti Teluk Intan untuk bersaing dengan peserta daripada institusi lain di pentas kebangsaan, khususnya dalam bidang industri kreatif digital.
KKTI dalam kenyataannya memaklumkan, pada edisi kali ini, mereka menghantar seramai 11 peserta yang terdiri daripada lima peserta bagi kategori 3D Animation dan enam peserta dalam kategori 3D Digital Game Art.
“Kesemua peserta menjalani latihan intensif selama sebulan sebagai persediaan menghadapi pertandingan, meliputi aspek teknikal, kreativiti, penyelesaian masalah serta simulasi pertandingan berdasarkan standard industri.
“Kejayaan Aiman dan Nor Syahirah bukan sahaja mengharumkan nama KKTI, malah mencerminkan keberkesanan pendekatan pendidikan TVET dalam membangunkan bakat kreatif digital yang mempunyai kemahiran teknikal dan kompetensi selaras dengan keperluan industry,” katanya.

Dalam pada itu, KKTI berkaa, POLYCCSkills adalah platform pertandingan kemahiran rasmi bagi mencungkil serta memilih bakat terbaik dalam kalangan pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) untuk mewakili POLYCC ke pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB).
“Selain menguji kecekapan teknikal, pertandingan berkenaan turut menekankan penguasaan kemahiran insaniah seperti komunikasi, pemikiran kritis, kreativiti, kerja berpasukan, kepimpinan, pengurusan masa dan penyelesaian masalah.
“Pencapaian tersebut turut mendapat sokongan hasil komitmen para jurulatih dan pensyarah yang memberikan latihan serta bimbingan secara sistematik bagi memastikan peserta berada pada tahap terbaik sepanjang pertandingan,” ujarnya.
KKTI berharap, kejayaan kedua-dua pelajar terbabit akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar di kolej tersebut untuk mengasah bakat, meningkatkan kemahiran dan berani menyahut cabaran pertandingan di peringkat lebih tinggi.
Katanya, secara tidak langsung memperkukuh agenda TVET negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri kreatif digital di peringkat nasional dan antarabangsa.
PolyCCSkills 2026 telah berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos lalu di Kolej Komuniti Selayang sebelum melabuhkan tirainya menerusi Majlis Perasmian Penutup yang diadakan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 6 Ogos lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dari pisang goreng tepi jalan ke kedai makan, TVET ubah nasib Azabillah


