IPOH – Keperibadian dan jati diri Nabi Muhammad SAW wajar dijadikan contoh terbaik oleh umat Islam dalam membentuk identiti Muslim yang kukuh, berteraskan iman, ilmu, akhlak serta prinsip yang tidak mudah digugat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pembentukan jati diri Muslim perlu bermula dengan penerapan nilai Islam dalam jiwa setiap anggota ummah seperti yang dicontohkan Rasulullah SAW.
“Bermula dengan menerapkan jati diri Muslim dalam jiwa ummah, Rasulullah SAW berjaya membina identiti ummah, berteraskan nilai dan prinsip Islam, berpaksikan akidah Allah yang Esa, mematuhi perintah Nya, serta berakhlak dengan sifat-sifat terpuji, menghargai nilai sejagat bersifat ihsan sesama ciptaan, serta menolak sebarang bentuk kezaliman dan pencerobohan.
“Muslim yang kukuh jati dirinya tidak akan menggadaikan identiti ummah yang mulia, ummah yang telah berjaya menjenamakan Islam sebagai agama yang indah lagi sempurna.
“Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk kembali kepada Islam secara menyeluruh (syumul) melalui pengukuhan iman, penghayatan sunah, penguasaan ilmu, pemilihan budaya yang betul, serta perpaduan ummah,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1448H/2026M yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di sini, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, jati diri seseorang tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan penampilan luaran, sebaliknya terpancar melalui prinsip, keimanan dan akhlak yang diterapkan dalam kehidupan.
“Jati diri tidak lahir melalui pakaian, slogan atau penampilan diri semata-mata. Jati diri lahir apabila seseorang mempunyai prinsip yang tidak mudah dijual, iman yang tidak mudah digugat dan akhlak yang tidak berubah mengikut kepentingan.
“Rasulullah SAW ialah contoh terbaik memiliki jati diri yang tegas pada prinsip, santun dalam tindakan, berani menghadapi musuh tetapi penuh ihsan terhadap yang lemah.
“Baginda memiliki kedudukan tinggi sebagai pemimpin tetapi menjalani kehidupan yang sederhana dengan penuh tawaduk.
“Kekuatan Rasulullah SAW terletak pada peribadi dan prinsip baginda, dan bukan pada retorik atau slogan. Akhlak Rasulullah SAW ialah contoh terbaik kepada seluruh umat manusia kerana peribadi Baginda mencerminkan ajaran Al-Quran.
“Sosok peribadi baginda ibarat sebuah potret yang menghuraikan segala keistimewaan dan kebaikan. Jati diri Baginda ialah peribadi agung yang menjadi contoh ikutan terbaik,” titah baginda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jangan persoal perjanjian dipersetujui ketika kemerdekaan – Sultan Nazrin


