Hulu Perak kaya mineral, kesan geologi semula jadi – JMG

IPOH – Kandungan arsenik yang tinggi di kawasan Hulu Perak bukanlah fenomena baharu atau berpunca daripada aktiviti perlombongan, sebaliknya ia telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada keadaan geologi semula jadi kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, kajian persampelan geokimia di kawasan Hulu Perak telah dijalankan selama 15 tahun, bermula dari Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) hingga ke RMK-10.

Menurut beliau, kajian berkenaan dijalankan menerusi pengambilan sampel sedimen sungai untuk dianalisis bagi mengenal pasti taburan mineral berharga termasuk emas, perak, timah dan tembaga.

Katanya, hasil analisis tersebut kemudiannya dikumpulkan dalam penerbitan JMG dikenali sebagai Atlas Geokimia Perak yang menunjukkan kawasan Hulu Perak mempunyai taburan mineral yang tinggi.

“Daripada atlas tersebut kita boleh lihat bahawa taburan mineral di kawasan Hulu Perak ini adalah sangat tinggi.

Hulu Perak kaya mineral, kesan geologi semula jadi – JMG
Lakaran gambar bagaimana aliran sungai yang kaya dengan mineral bertukar menjadi warna biru.

“Pelbagai jenis mineral ada, mineral-mineral yang dikehendaki dan juga mineral-mineral tidak dikehendaki seperti arsenik dan mangan yang juga tinggi di kawasan Hulu Perak,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas fenomena air Sungai Perak bertukar warna kebiruan di Hulu Perak dalam beberapa siri kejadian yang dilaporkan sebelum ini.

Nizarulikram berkata, kawasan yang mempunyai kandungan mineral tinggi itu meliputi kawasan di sebelah timur dan barat Hulu Perak, termasuk sekitar Tasik Temengor, kawasan berhampiran operasi Rahman Hydraulic serta sehingga ke sempadan Thailand.

Menurutnya, keadaan geologi semula jadi berkenaan menyebabkan sebarang aktiviti pembukaan tanah berpotensi mendedahkan mineral sedia ada kepada proses hakisan apabila berlaku hujan.

“Air hujan yang mengalir di permukaan tanah boleh membawa bahan daripada kawasan perlombongan, pertanian dan aktiviti lain masuk ke sistem sungai.

Pasukan Penguat Kuasa JMG Perak sentiasa melakukan pemantauan di sungai-sungai Hulu Perak. Foto JMG Perak.

“Bermaksud bahawa sebarang aktiviti pembukaan tanah yang menyebabkan tanah itu terbuka dan apabila berlaku hujan lebat, tindakan air hujan akan menghakis tanah tersebut dan membawa apa-apa saja daripada aktiviti yang berada di situ,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, keadaan kandungan arsenik yang tinggi di kawasan tersebut pernah menjadi antara faktor berkaitan penutupan Loji Rawatan Air Ganda sebelum ini.

“Dahulu apabila Loji Rawatan Air Ganda ditutup sebab arsenik tinggi, itu adalah salah satu sebab bahawa dalam Sungai Perak dan juga Sungai Rui yang membawa banyak mineral, memang mineralnya tinggi di situ termasuk arsenik,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI