IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2026 di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada Isnin.
Turut berangkat ke majlis, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bersama dua anakanda, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya pada jam 8.15 pagi.
Berangkat sama, Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah; dan Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.
Keberangkatan Sultan Nazrin diiringi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Exco Perak.
Kira-kira 50,000 hadir terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hadir memeriahkan majlis sambutan sekitar jam 5 pagi.
Sambutan bermula dengan perarakan masuk kawalan kehormatan utama dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Division dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Division yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping.
Sambutan kemudian diteruskan dengan bacaan potongan al-Quran oleh Imam Utama Masjid Sultan Azlan, Shah Syed Muzzaffar Syed Azlan, nyanyian Lagu Negaraku serta Lafaz Ikrar Rukun Negara oleh 25 orang pelajar terdiri daripada Kolej Pra Tingkatan 6 Sri Putera, Ipoh.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan koir oleh gabungan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet Ipoh; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan A.V Maria Convent, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan, dengan nyanyian tiga buah lagu iaitu lagu Aku Berjanji , Tanggal 31 Ogos dan Jalur Gemilang.
Persembahan muzikal bertajuk ‘Sepayung, Budaya Menyatukan Bangsa’ daripada 120 orang dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Gema Warisan Budaya Majlis Bandaraya Ipoh, Sekolah Kebangsaan Seberang Perak, Yencci Dance Studio, peserta uji bakat, kemudian mengambil tempat di hadapan pentas utama.
Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 105 kontinjen yang disertai 5,884 terdiri pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, swasta, kerajaan tempatan, pasukan beruniform, institusi pendidikan termasuk sekolah, universiti dan Politeknik, badan berkanun serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.
Selain persembahan pancaragam daripada lima sekolah, turut dipamerkan kenderaan dan aset masing-masing termasuk dari kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri.
Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri juga diserikan dengan persembahan Tempur Tanpa Senjata oleh Kem Remilies (Markas 2 Briged) Ipoh, serta pertunjukan udara oleh pesawat jenis pengangkut termasuk C-130 Hercules.
Aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu pernah terlibat dengan beberapa operasi termasuk pembenihan awan dan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada Mac 2014.
Sambutan kemudian berakhir dengan Sultan Nazrin, Tuanku Zara, dan semua dif kenamaan meninggalkan majlis untuk ke Penyampaian Hadiah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Perak di dalam Dewan Bandaran Ipoh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Hari Kebangsaan: Sultan Nazrin berangkat ke majlis bacaan Yasin, perasmian masjid


