IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri serta Perasmian Masjid Imam As-Syafie di Hala Meru Utama 1, Meru Raya, di sini, pada Ahad.
Turut berangkat ke majlis, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah Sultan Nazrin Shah dan Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Pada majlis itu, baginda berkenan menarik tirai plak sebagai tanda perasmian masjid berkenaan, sebelum disusuli dengan bacaan doa.
Ia kemudian diikuti dengan majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak.
Usai majlis, Sultan Nazrin, kerabat diraja dan tetamu kehormat kemudian menunaikan solat Isyak bersama lebih daripada 300 orang jemaah.
Kerja-kerja pembinaan Masjid Imam As Syafie bermula pada tahun 2022 dan mula dibuka kepada kepada jemaah pada Jun 2025.
Masjid berkenaan membabitkan 11 kawasan kariah iaitu Taman Meru Mentari, Desa Meru Park, Taman Meru Perdana, Taman Meru Mutiara, Taman Meru Perdana 2, Scientex Meru, Taman Meru Suria, Taman Chepor Idaman, Residensi Prima Meru, Taman Chepor Permai serta Taman Meru Tropika.
Masjid Imam As Syafie melibatkan 11 orang Ahli Jawatankuasa dengan dipimpin bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Mohd Gazali Jalal sebagai pengerusi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin seru pemimpin Islam kurangkan sengketa, perkasa identiti ummah


