Nahas lori: Imigresen perkemas SOP pengendalian kenderaan

IPOH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengendalian dan pengoperasian kenderaan jabatan susulan insiden kemalangan maut yang mengorbankan tiga beranak di ibu negara bulan lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah itu akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan dalaman yang sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pelanggaran terhadap SOP sedia ada.

Menurutnya, siasatan tersebut turut memberi tumpuan terhadap tahap pematuhan anggota dan pegawai terhadap prosedur yang telah ditetapkan.

“Fokus kita ialah untuk melihat pematuhan kepada SOP dan hasil daripada siasatan itu, sekiranya ada pelanggaran SOP ataupun SOP yang perlu ditambah baik, kita akan ambil tindakan.

“Kita akan buat penambahbaikan supaya insiden-insiden begini tidak berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Ops Mahir yang dijalankan JIM di Kawasan Perindustrian Khantan, Chemor, di sini, pada Jumaat.

Pada Ogos, media melaporkan seorang pemandu kenderaan jabatan berkenaan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan berkaitan kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga di Kuala Lumpur.

Pemandu lori itu juga telah digantung tugas bagi memberi laluan untuk JIM menjalankan siasatan dalaman secara terperinci menerusi penubuhan jawatankuasa siasatan khas.

Mengulas lanjut Zakaria berkata, siasatan dalaman berhubung kejadian berkenaan masih diteruskan dan beliau masih belum menerima laporan lengkap mengenainya.

“Kita masih melaksanakan siasatan dalaman dan saya belum terima laporan lagi.

“Kita akan lihat hasil daripada siasatan dalaman kita, manakala bagi kes itu, kita serahkan kepada pihak polis untuk urusan pendakwaan dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Zakaria berkata, JIM turut menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang mendakwa dimalukan serta dituduh mencuri sarung pasport ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat berhubung perkara tersebut dan imigresen akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

“Itu juga masih dalam siasatan polis dan biar polis menjalankan siasatan kerana bagi pihak kita, laporan polis telah dibuat,” katanya lagi.  – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Perak teliti bantuan sesuai untuk keluarga mangsa nahas lori Imigresen

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI