Enam pendaki hilang di Trans GBB, operasi SAR tertumpu di laluan Perak – Polis

GERIK – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam peserta ekspedisi pendakian Trans GBB (Gunung Gerah, Bilah dan Bieh) yang dilaporkan hilang kini tertumpu di laluan sebelah Perak.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, operasi berkenaan dilancarkan susulan laporan polis yang dibuat ahli keluarga selepas gagal menerima sebarang khabar berita daripada kumpulan berkenaan sehingga 6 September lalu.

Menurutnya, kumpulan tersebut terdiri daripada empat lelaki berusia antara 39 hingga 49 tahun serta dua kanak-kanak masing-masing berusia sembilan dan 13 tahun.

“Mereka memulakan pendakian pada 29 Ogos lalu dari kawasan Pos Dakoh, Gua Musang, Kelantan dan dijangka keluar melalui Pos Kemar, di sini pada 3 September.

“Komunikasi terakhir kumpulan berkenaan dengan ahli keluarga adalah pada 1 September lalu, kira-kira jam 7.47 pagi yang memaklumkan mereka berada dalam keadaan baik dan sedang bergerak menuju ke arah Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, sehingga 6 September lalu, ahli keluarga masih belum menerima sebarang khabar berita daripada kumpulan berkenaan sebelum membuat laporan polis kerana bimbang terhadap keselamatan mereka.

“Susulan laporan tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi berkaitan mengambil tindakan dengan melancarkan operasi SAR bagi mengesan kesemua peserta dengan pencarian ditumpukan di kawasan laluan sebelah Perak.

“Operasi berkenaan turut membabitkan PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Pejabat Tanah serta Malim Gunung Perhutanan (MGP) Perak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Samad menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan kumpulan berkenaan supaya segera menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha pencarian.

“Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menjejaskan kelancaran operasi SAR,” katanya.

Terdahulu, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon dilaporkan berkata, operasi SAR ini menggabungkan penggunaan aset darat, bot serta tinjauan udara bagi menjejaki kedudukan keenam-enam individu berkenaan.

Semalam media melaporkan, enam individu termasuk empat beranak dikhuatiri hilang selepas mendaki gunung di Gua Musang, Kelantan pada 29 Ogos lalu.

Kesemua mereka termasuk dua malim gunung sepatutnya tiba di Pos Kemar pada Khamis lalu namun sehingga kini gagal dihubungi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Enam pendaki hilang di Trans GBB, operasi SAR guna aset darat, air, udara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI