IPOH – Sebanyak 51 projek sakit dan enam projek perumahan swasta terbengkalai direkodkan di Perak berdasarkan data rasmi portal TEDUH (Transforming & Empowering Data Usage in Housing), di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pemantauan dan usaha pemulihan projek berkenaan dari segi bidang kuasa adalah di bawah JPN dan KPKT.
Menurutnya, di peringkat negeri, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) memberi perhatian khusus kepada projek yang membabitkan Rumah Perakku.
“Bagaimanapun, apabila sesuatu projek memerlukan tindakan dan penyelarasan di peringkat negeri, kita tidak hanya menunggu tindakan Persekutuan.
“Walaupun bidang kuasa utama di bawah Akta 118 berada pada KPKT dan JPN, kerajaan negeri mengambil peranan proaktif kerana banyak isu yang menentukan sama ada projek boleh bergerak semula melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), tanah, infrastruktur, utiliti dan agensi negeri.
“Sebab itu kita mewujudkan Jawatankuasa Kecil Pemantauan Projek Sakit dan Pemulihan Projek Terbengkalai (JKPSPT) yang menghimpunkan LPHP, JPN, PBT, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta agensi teknikal untuk melihat setiap projek secara khusus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Selasa.
Katanya, antara contoh paling signifikan ialah D’Aman Residensi di Meru Raya, yang telah diberi perhatian khusus sejak awal saya memegang portfolio perumahan.
“Pemulihan D’Aman bukan sekadar meminta pemaju masuk semula ke tapak. Ia memerlukan LPHP bersama JPN, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), agensi teknikal, utiliti dan pemaju menyelesaikan isu demi isu, termasuk kemajuan fizikal, keperluan teknikal dan utiliti, hak milik strata serta proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Mematuhi (CCC).
“Banyak kerja berlaku di belakang tabir, mesyuarat teknikal, lawatan tapak, pemantauan dan susulan berulang kali sehingga akhirnya dua blok melibatkan 480 unit memperoleh CCC pada 16 April lalu serta pembeli juga telah mula menerima kunci kediaman masing-masing sejak Julai lalu,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Sandrea berkata projek perumahan oleh Osakan Holdings Sdn Bhd yang sebelum ini berstatus projek sakit dan melibatkan komponen Rumah Perakku I, turut berjaya disiapkan dan memperoleh CCC pada 7 Mei lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Projek terbengkalai D’Aman Residensi Meru Raya dijangka siap Disember


