Pembangunan infrastruktur ‘birdwatching‘ perlu bersasar, elak ganggu habitat

IPOH – Cadangan pembangunan fizikal dan infrastruktur bagi menyokong aktiviti pemerhatian burung (birdwatching) di Perak perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan tidak menjejaskan habitat semula jadi serta ekosistem burung.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan secara bersasar dengan hanya menyediakan kemudahan yang benar-benar diperlukan, selain mengambil kira aspek pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, perkara itu perlu dibincangkan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah sebelum ia dilaksanakan.

“Kadangkala, pembangunan fizikal yang terlalu banyak atau tidak dirancang dengan baik boleh menyebabkan habitat terganggu dan seterusnya menjejaskan kehadiran burung di sesuatu kawasan.

“Oleh itu, saya berpandangan bahawa pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan secara bersasar, hanya pada kemudahan yang benar-benar diperlukan, dengan mengambil kira aspek pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Selasa.

Loh berkata, Perak mempunyai lebih daripada satu lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi selain Kuala Gula yang sememangnya terkenal dalam kalangan peminat aktiviti berkenaan.

“Selain itu, terdapat juga lokasi-lokasi lain seperti Teluk Intan, Taman Alam Kinta dan Royal Belum yang mempunyai potensi besar sebagai destinasi birdwatching.

“Aktiviti ini sememangnya mempunyai segmen pasaran yang tersendiri, khususnya dalam kalangan peminat burung dan pemerhati burung dari dalam serta luar negara.

“Bagi golongan ini, mereka sanggup menghabiskan masa yang panjang, malah ada yang sanggup mengorbankan waktu tidur dan rehat semata-mata untuk melihat spesies burung tertentu.

“Ini menunjukkan bahawa birdwatching merupakan satu niche tourism yang mempunyai potensi untuk terus dikembangkan di Perak,” jelasnya.

Mengulas cadangan pembangunan kawasan berkaitan Pulau Orang Utan, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Tourism Perak sentiasa menjalankan usaha promosi terhadap lokasi tersebut sebagai salah satu produk pelancongan negeri.

“Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan persendirian. Oleh itu, adalah kurang wajar sekiranya kerajaan menyalurkan peruntukan awam untuk pembangunan fizikal di atas tanah atau kawasan milik syarikat swasta.

“Walau bagaimanapun, dari aspek promosi dan pemasaran, kerajaan negeri sememangnya sentiasa memberikan sokongan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ekspo Jom Makan Ipoh dicadang masuk kalendar pelancongan Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI