GERIK – Enam individu termasuk empat sekeluarga yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans GBB (Gunung Gerah, Bilah, dan Bieh) ditemukan selamat oleh Pasukan Malim Gunung Perhutanan (MGP) dari Perak dan Kelantan, di Kem Kulim malam ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kesemua mangsa ditemukan oleh 10 anggota MGP yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, kesemua mangsa kemudian dibawa ke Kampung Lelar oleh pasukan penyelamat dan tiba kira-kira jam 8.45 malam.
“Setakat ini, enam mangsa sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pos Kemar di sini.
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas malam ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman dilaporkan berkata, keenam-enam pendaki terbabit berada dalam keadaan selamat.
Semalam media melaporkan, enam individu termasuk dua kanak-kanak memulakan pendakian Trans GBB pada 29 Ogos lalu.
Kesemua mereka termasuk dua malim gunung sepatutnya tiba di Pos Kemar pada Khamis lalu namun sehingga kini gagal dihubungi.
Enam individu terbabit ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


