IPOH – Kerajaan Perak menganggarkan 38 peratus projek hidroponik dan fertigasi di daerah Kinta dan Kampar telah menggunakan teknologi berasaskan internet pelbagai benda (IoT), selaras usaha memperkukuh penerapan Pertanian Pintar (Smart Farming) bagi meningkatkan produktiviti pertanian di Lembah Kinta.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, penerapan teknologi pertanian pintar dilihat sebagai antara pendekatan penting bagi menangani kekangan sumber tanah yang semakin terhad, khususnya di kawasan Lembah Kinta.
Menurutnya, penggunaan teknologi seperti IoT, kecerdasan buatan (AI), penderia EC (Electrical Conductivity) dan pH serta sistem kawalan nutrien secara automatik mula diterapkan dalam aktiviti hidroponik dan fertigasi.
“Kadar penerimaan projek ini dijangka terus meningkat selaras dengan perkembangan teknologi serta kos pengoperasian yang semakin kompetitif,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Selasa.
Katanya, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) turut memberi tumpuan kepada pembangunan Pertanian Pintar Dalam Bangunan (Smart Indoor Farming), khususnya di kawasan bandar seperti Lembah Kinta.
“Projek rintis berkenaan menggunakan teknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi sistem Fully Climate-Controlled Indoor Farming, termasuk kaedah vertical farming yang membolehkan pencahayaan, suhu, kelembapan, nutrien dan kualiti udara dikawal secara sistematik.
“Pendekatan ini amat sesuai untuk kawasan bandar kerana membolehkan ruang yang terhad dimanfaatkan secara optimum bagi pengeluaran makanan,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Zolkafly berkata, konsep ‘adaptive reuse‘ turut diteroka menerusi pemanfaatan bangunan terbiar, khususnya di sekitar bandar raya Ipoh, sebagai ruang pengeluaran pertanian moden.
“Fasa pertama projek itu dimulakan pada suku keempat 2025 dan kini memasuki fasa kedua pembangunan.
“Teknologi berkenaan berpotensi memendekkan tempoh pengeluaran, menghasilkan sayur-sayuran berkualiti tinggi tanpa penggunaan racun perosak selain meningkatkan produktiviti bagi setiap unit keluasan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Keterjaminan makanan bermula di ladang, pertanian Perak terus diperkasa


