IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026 secara sebulat suara tanpa pindaan sempena Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di sini pada Rabu.
RUU yang mengandungi 16 fasal itu dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum dibahaskan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) selaku penyokong usul dan Mohd Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting) yang mewakili pembangkang.
Selepas penggulungan, Speaker DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan RUU berkenaan diluluskan bagi bacaan kali kedua dan ketiga selepas dipersetujui semua ADUN.
Ketika membentangkannya, Saarani berkata, pindaan itu bertujuan untuk memperjelas bidang kuasa, memperkemas tatakelola, mengelakkan pertindihan perundangan serta menyediakan punca kuasa bagi beberapa keperluan semasa pentadbiran agama Islam negeri.
Beliau berkata, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 yang menjadi antara undang-undang utama pentadbiran agama Islam negeri telah melalui lima pindaan masing-masing pada 2005, 2009, 2012, 2018 dan 2025.
Ujar Saarani, antara pindaan utama antaranya pelaksanaan dasar perkhidmatan guna sama antara kerajaan negeri dan Persekutuan serta penyelarasan fungsi serta bidang kuasa institusi agama.
Tambah beliau lagi, ia juga membabitkan pemantapan kerangka profesion Peguam Syarie, penyediaan asas perundangan bagi pendaftaran masjid dan surau, serta beberapa penyelarasan lain terhadap peruntukan sedia ada.
“Kesemua pindaan ini mempunyai satu matlamat yang sama, iaitu memastikan kerangka perundangan yang mendukung pentadbiran agama Islam di negeri Perak kekal jelas, teratur dan berkesan, sesuai dengan keperluan semasa tanpa menjejaskan prinsip serta kedudukan agama Islam dan institusi-institusinya di negeri ini,” katanya.
Menurut Saarani, pindaan turut menyediakan punca kuasa undang-undang bagi pelaksanaan dasar perkhidmatan guna sama membabitkan jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pendakwa Syarie, Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pegawai Masjid.
Ujar beliau, ia membolehkan pelantikan ke jawatan berkenaan dibuat daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri atau perkhidmatan awam am Persekutuan.
“Perlu dijelaskan bahawa bahawa pelaksanaan dasar perkhidmatan guna sama ini tidak mengubah kedudukan dan bidang kuasa negeri dalam pentadbiran agama Islam.
“Sebaliknya, pindaan ini menyediakan kerangka perundangan yang membolehkan negeri memanfaatkan sumber manusia, pengalaman dan kepakaran daripada kedua-dua perkhidmatan secara lebih tersusun, mengikut keperluan pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata, fungsi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) turut diperjelaskan supaya merangkumi perkara berkaitan Adat Melayu, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Jelas Saarani, beberapa peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah pula dikeluarkan daripada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 bagi mengelakkan pertindihan kerana perkara berkenaan telah diperuntukkan di bawah Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018.
“Pindaan dicadangkan bagi membolehkan pelatih dalam kamar yang menjalani latihan di bawah seliaan seorang pengajar hadir dalam prosiding Mahkamah Syariah.
“Ia merupakan sebahagian daripada cadangan untuk menjadikan latihan dalam kamar sebagai syarat wajib bagi penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie di Negeri Perak.
“Langkah ini penting kerana profesion Peguam Syarie menuntut bukan sahaja penguasaan ilmu dan undang-undang, tetapi juga kemahiran amali, etika serta profesionalisme,” katanya lagi.
Selain itu Saarani berkata, peruntukan khusus diwujudkan bagi pendaftaran masjid dan surau yang sebelum ini dilaksanakan secara pentadbiran tanpa peruntukan khusus dalam enakmen berkenaan.
Ketika menggulung perbahasan, beliau menegaskan pengeluaran ‘Pembantu Bilal’ atau siak daripada tafsiran ‘Pegawai Masjid’ tidak menjejaskan elaun, fungsi, tanggungjawab atau kedudukan mereka, selain tidak bermaksud jawatan itu dimansuhkan.
Kata beliau, ‘Pembantu Bilal’ akan terus dikekalkan dan diuruskan seperti amalan sedia ada, manakala pindaan berkenaan hanya bertujuan menyelaraskan peruntukan undang-undang dengan tatacara pentadbiran semasa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
DUN Perak lulus RUU berkaitan saraan ADUN, Anggota Pentadbiran


