KUALA LUMPUR – Malaysia sedang berusaha mendapatkan sampel DNA mangsa yang sudah diambil di Nepal untuk dihantar ke Kuala Lumpur bagi membantu proses pemadanan dengan sampel waris 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, permintaan itu sudah disampaikan menerusi Kedutaan Malaysia kepada pihak keselamatan Nepal, namun kerajaan masih menunggu maklum balas rasmi berhubung perkara tersebut.
“Melalui kedutaan, kita sudah minta pihak keselamatan Nepal kalau ada sampel yang sudah diambil, hantar ke Malaysia untuk kita buat pemadanan DNA di sini kelak.
“Ini juga sudah maklumkan kepada kerajaan Nepal, tetapi tunggu dulu, belum jawab lagi,” katanya ketika ditemui media di Laman Media WTC sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini hari ini.

Mohamad berkata, cadangan itu dibuat susulan kekangan kemudahan dan peralatan bagi menjalankan proses pemadanan DNA di lokasi kejadian.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pasukan SMART dijangka pulang dari Nepal hari ini atau esok selepas keadaan di lapangan mengehadkan tindakan lanjut.
Namun Malaysia akan menyerahkan dron yang digunakan pasukan berkenaan kepada pihak penyelamat Nepal untuk membantu operasi mencari yang masih diteruskan.
Katanya, Malaysia juga tidak mahu membuat keputusan secara tergesa-gesa sama ada menghantar pasukan tambahan atau meneruskan operasi, sebaliknya menunggu laporan dan penilaian ketua pasukan SMART serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Biar ketua pasukan buat laporan dan penilaian dahulu. Daripada laporan itu kita tengok apa langkah seterusnya yang perlu dibuat,” ujarnya.
Mohamad berkata, keadaan di lokasi amat mencabar dengan timbunan lumpur dan pasir tebal sehingga terdapat rumah serta bangunan yang tertimbus sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat petunjuk terakhir daripada telefon seorang mangsa yang dikenal pasti, namun lokasi berkenaan merupakan antara kawasan yang teruk terjejas akibat bencana.
“Memang ada last ping daripada telefon mangsa yang kita dapat kenal pasti. Kawasan itu memang kawasan yang teruk dilanda bencana,” katanya.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan oleh pasukan keselamatan serta penyelamat Nepal, manakala Malaysia kekal terbuka untuk mempertimbangkan bantuan lanjut sekiranya diminta kerajaan negara itu.
Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai langkah seterusnya akan dibuat selepas kerajaan menerima laporan pasukan di lapangan, termasuk penilaian mengenai keperluan bantuan tambahan dalam operasi berkenaan. – MalaysiaGazette


