IPOH – Skuasy boleh dijadikan antara sukan teras negeri Perak susulan prestasi konsisten atletnya yang menyumbangkan pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), termasuk kejayaan meraih emas pada SUKMA Selangor 2026, bulan lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, pencapaian tersebut membuktikan skuasy mempunyai potensi besar untuk terus menjadi penyumbang pingat kepada kontinjen negeri pada temasya sukan dwitahunan edisi akan datang.

“Kita kena jadikan sukan skuasy ini antara sukan yang saya nampak boleh dijadikan sebagai sukan teras bagi negeri Perak, khususnya dalam SUKMA kerana ia tidak pernah mengecewakan untuk mendapatkan pingat di SUKMA sama ada pada edisi 2026 mahupun 2024.
“Ini merupakan satu perkembangan yang sihat dan kita mengharapkan untuk SUKMA akan datang, skuasy juga terus mampu menyumbangkan pingat emas kepada negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Terbuka Skuasy Remaja Kinta Peringkat Kebangsaan 2026 di Arena Skuasy Perak, di sini, pada Ahad.

Menurut Khairudin, pembangunan skuasy di negeri ini turut disokong Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSP) serta persatuan sukan skuasy.
Beliau berkata, program pembangunan sukan itu turut memberi peluang kepada atlet pelapis menyertai kejohanan peringkat junior sebagai pendedahan awal untuk mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Dengan cara ini kita akan mengenal pasti atlet-atlet baharu yang mungkin selama ini kita tidak kenal dan tidak tahu.
“Dan apabila mereka diberi ruang serta pendedahan dalam kejohanan seperti ini, ia akan dapat meningkatkan nilai tambah dan penglibatan atlet-atlet baharu,” jelasnya.

Atlet skuasy Perak, Low Wa Sern berjaya merangkul merangkul pingat emas perseorangan lelaki pada SUKMA Selangor 2026, dan sekali gus memperbaiki rekod peribadi setelah meraih gangsa pada SUKMA Sarawak 2024.
Pemenang emas di Sukan SEA 2025 itu berjaya menewaskan wakil tuan rumah, M. Nickhileswar 11-6, 11-8, 11-2 pada aksi final yang diadakan di Kompleks Sukan Astaka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Ogos.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairudin berkata, Kejohanan Terbuka Skuasy Remaja Kinta Peringkat Kebangsaan membabitkan penyertaan 190 atlet muda dari sembilan negeri, termasuk Perak, Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
“Tujuan utama program ini adalah untuk mencari bakat-bakat baharu khususnya dalam sukan skuasy, dan pada masa sama kita boleh melihat kemajuan sukan ini di peringkat akar umbi kerana yang bermain ialah pelajar sekolah.
“Mereka inilah yang akan meneruskan lagi perkembangan dan pembangunan sukan di negeri Perak khususnya dan juga Malaysia,” katanya.
Kejohanan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Guru Kalgidhar yang berlangsung selama dua hari bermula 12 September itu mempertandingkan kategori bawah 10, bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 tahun bagi lelaki dan perempuan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


