IPOH – Seorang penjaga stor didakwa Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan pekerja sebuah kedai serbaneka, Ogos lalu.
Tertuduh, Muhammad Haziq Danial Zulkifli, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S Punitha.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya dengan memeluknya dari belakang sebelum memegang kedua-dua payudara mangsa.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai serbaneka di Panorama Lapangan Perdana dalam daerah Kinta pada jam 5.25 pagi, 24 Ogos 2026.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada seorang anak itu didakwa telah dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa sama dengan melakukan perbuatan onani yang bertujuan mengganggu kesantunan mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira yang menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Kathan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan seorang anak berusia tujuh tahun di samping hanya mempunyai pendapatan sebanyak RM1,900 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Oktober depan bagi tujuan serahan dokumen dan pelantikan peguam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


