IPOH – Demi memeriahkan Keretapi Sarong 2026 yang diadakan bersempena Sambutan Hari Malaysia, seorang pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) tampil dalam persalinan tradisional masyarakat Bidayuh yang dipinjam daripada jirannya di Sarawak.
Nur Pasrahwani Maisarah Ridzuan, 18, yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata, pakaian berkenaan dihantar oleh jirannya ke Ipoh dan mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk tiba.
Pelajar Asasi Teknologi Kejuruteraan PUO itu berkata, penyertaannya dalam Keretapi Sarong buat kali pertama memberi pengalaman menarik kerana dapat meraikan Hari Malaysia bersama rakan-rakan dari pelbagai negeri.
Menurutnya, pemilihan pakaian Bidayuh itu juga memberi makna tersendiri kerana ia membolehkan budaya Sarawak diketengahkan dalam program yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Ini kali pertama saya menyertai Keretapi Sarong dan saya sangat gembira kerana kawan-kawan di sini turut memberikan sokongan.
“Pada masa sama, saya dapat memperkenalkan pakaian dan budaya Sarawak kepada rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini hari ini.

Sementara itu, pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal PUO, Lye Fong Yeng, 18, berkata, penyertaannya dalam program itu menjadi pengalaman pertama yang menarik.
“Saya datang bersama empat rakan daripada kursus yang sama kira-kira jam 8 pagi. Menariknya, saya dapat melihat pelbagai jenis tarian daripada kaum yang berbeza serta pakaian tradisional yang dipakai oleh peserta,” ujarnya yang berasal dari Malim Nawar.
Bagi Muhammad Faizal Abdullah, 32, pula, program ini menjadi ruang untuknya tampil dengan kelainan menerusi pakaian yang dibelinya dari Sarawak.
Penjawat awam yang berasal dari Taiping itu memaklumkan, dia tiba di Ipoh sekitar jam 6 pagi bagi menyertai program berkenaan.
“Saya pernah menetap di Sarawak dan pakaian ini saya beli ketika berada di sana. Ini merupakan tahun ketiga saya menyertai Keretapi Sarong,“ jelasnya.
Katanya, pakaian yang bernilai lebih RM1,000 dan dipilih sebagai simbol kecintaannya terhadap kepelbagaian budaya di negara ini.

“Sebelum ini, dua kali saya menyertai Keretapi Sarong di Kedah. Kali ini saya memilih untuk hadir program di Ipoh dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Sungai Petani pada sebelah petang,“ ujarnya.
Program Keretapi Sarong 2026 yang memasuki tahun kelima penganjurannya hari ini berlangsung meriah apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta daripada pelbagai kaum yang mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
2,000 peserta warnai Keretapi Sarong Ipoh dengan busana tradisional Malaysia


