Kemalangan 12 motosikal: Polis belum sahkan babit kegiatan lumba haram

BATU GAJAH – Polis masih belum dapat mengesahkan sama ada sekumpulan penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang di sini, awal pagi Sabtu, mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya perlu mendapatkan keterangan daripada sembilan penunggang motosikal yang masih menerima rawatan di hospital bagi mengetahui keadaan sebenar sebelum dan ketika kejadian.

“Setakat hari ini, tiga penunggang motosikal telah meninggal dunia, dua di tempat kejadian dan seorang di hospital, manakala baki sembilan lagi masih dirawat di hospital.

“Sama ada mereka merempit (terbabit aktiviti lumba haram) atau tidak, kami belum dapat sahkan kerana belum mengambil keterangan mereka yang sedang dirawat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita Kontinjen Perak dan Diskusi Town Hall Ketua Polis Perak Bilangan 2/2026 di Dewan Bandaran Kinta, di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, siasatan lanjut akan dilakukan selepas keadaan kesihatan kesemua mangsa yang cedera dalam keadaan baik bagi menyiasat situasi sebenar nahas jalan raya itu.

“Difahamkan, lebih awal daripada itu, sudah berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta yang menyebabkan kenderaan berkenaan berada di laluan lain.

“Mungkin dalam keadaan pencahayaan yang kurang terang, ia telah menyebabkan segerombolan anak muda yang menunggang motosikal melanggar kereta-kereta yang berada di situ,” katanya lagi.

Mohammad Azlin berkata, kesemua penunggang motosikal berkenaan yang berusia antara 19 hingga 25 tahun dan difahamkan merupakan sekumpulan rakan yang berkonvoi dari kawasan Meru Raya.

Terdahulu media melaporkan, tiga penunggang motosikal maut manakala sembilan lagi cedera dalam nahas jalan raya membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang.

Dalam kejadian sekitar jam 3.35 pagi itu, kesemua 15 kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru menghala ke Tambun sebelum terbabit dalam kemalangan di lokasi berkenaan.

Susulan itu, dua penunggang motosikal berusia 19 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara seorang lagi remaja lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tiga maut, sembilan cedera kemalangan libat 12 motosikal, tiga kereta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI