GERIK – Kerajaan negeri menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak sentiasa menggalakkan lebih banyak komuniti Orang Asli menubuhkan koperasi sebagai platform meningkatkan pendapatan dan mengembangkan potensi ekonomi setempat.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Usahawan Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi Program Aspirasi Sosioekonomi Koperasi Orang Asli (PASTI ASLI) yang memberi tumpuan kepada pembangunan potensi dan kapasiti koperasi golongan berkenaan.
Beliau berkata, PASTI ASLI bukan sekadar memperkenalkan konsep koperasi kepada masyarakat Orang Asli, sebaliknya turut membimbing mereka memahami peranan koperasi dalam membantu komuniti membangunkan aktiviti ekonomi.
“Kita membimbing mereka untuk memastikan mereka tahu peranan koperasi dan bagaimana koperasi boleh membantu komuniti untuk meningkatkan ekonomi.
“Walaupun jumlah koperasi masyarakat Orang Asli tidak begitu banyak, terdapat beberapa koperasi yang mempunyai potensi untuk kita angkat dan banggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Malaysia Gazette (MG) Perak pada Program CSR Pemerkasaan Komuniti Orang Asli Melalui Penyerahan Bot Kepada Koperasi Orang Asli sempena PASTI ASLI di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Pengarah SKM Perak, Mohd Firdaus Hussin.

Mengulas lanjut, Salbiah yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Temenggor berkata, kejayaan beberapa koperasi masyarakat Orang Asli yang sedia ada boleh dijadikan contoh kepada koperasi lain supaya terus berkembang dan memberi manfaat kepada komuniti.
Katanya, Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOAKLB) merupakan antara koperasi masyarakat Orang Asli yang telah menunjukkan perkembangan dan kejayaan, sekali gus berpotensi memainkan peranan sebagai mentor kepada koperasi lain.
“Kita nak koperasi-koperasi seperti itu dapat menjadi mentor kepada koperasi-koperasi masyarakat Orang Asli negeri Perak ini.
“Dalam masa sama, kita melihat Koperasi Orang Asli Sungai Tiang (KOAST) juga merupakan koperasi masyarakat yang berpotensi untuk kita ketengahkan,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan koperasi mampu menjadi platform untuk masyarakat Orang Asli mengurus dan mengembangkan potensi ekonomi yang terdapat di kawasan mereka sendiri.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri bersama SKM Perak akan terus berusaha membangunkan komuniti Orang Asli melalui pendekatan koperasi. -MG Perak


