KAMU 2026 bukan sekadar hiburan, medan perkasa potensi anak muda

IPOH – Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2026 terus menjadi medan mencungkil bakat dan potensi generasi muda, selain membuka ruang kepada mereka meneroka pelbagai peluang pendidikan, kerjaya dan keusahawanan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program yang memasuki edisi kelima penganjurannya itu terus menunjukkan perkembangan positif apabila penyertaan dan jumlah acara yang dianjurkan semakin meningkat serta mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

Menurutnya, penganjuran KAMU bukan sekadar hiburan semata-mata sebaliknya menjadi platform untuk golongan muda mendapatkan pelbagai maklumat dan peluang yang disediakan.

“Saya mendapat komen daripada orang ramai, penganjuran KAMU ini sangat baik dan kita harap, orang datang bukan untuk konsert sahaja, tetapi tolong masuk dalam (Stadium Indera Mulia) kerana banyak informasi bermanfaat yang boleh didapati di situ.

“Kita harap orang yang masuk juga akan dapat menyampaikan kepada orang lain. Itu paling penting. Sebab ini semua alat untuk mengumpulkan orang muda, tapi pengisian sebenar disediakan di dalam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan KAMU 2026 di perkarangan Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah dalam ucapannya berkata, kira-kira 40 program disusun menerusi KAMU edisi kali ini.

KAMU 2026 bukan sekadar hiburan, medan perkasa potensi anak muda
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah ketika berucap pada Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2026 di perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 SEPTEMBER 2026.

Katanya, program tersebut merangkumi bidang pendidikan, kerjaya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sukan, keusahawanan, pembangunan bakat, aktiviti jaringan dan perkongsian pengalaman.

“Kita sedar bahawa setiap anak muda memiliki potensi yang berbeza. Ada yang cemerlang dalam akademik, ada yang menyerlah dalam kemahiran TVET, ada yang berbakat dalam sukan, ada yang berhasrat menjadi usahawan, dan ada yang mempunyai idea, kreativiti serta inovasi yang mampu mencipta sesuatu yang baharu.

“KAMU adalah platform untuk semua potensi itu diketengahkan dan kita mahu anak-anak muda melihat TVET sebagai laluan penting untuk membina kerjaya dan masa depan.

“Oleh itu, pembangunan anak muda harus menyeluruh meliputi ilmu, kemahiran, bakat, kesihatan, karakter dan peluang kerjaya,“ jelasnya.

Khairudin berkata, seramai 150 kumpulan usahawan turut terlibat dalam KAMU sekali gus menjadi medan pertemuan anak muda dengan peluang kerjaya, pengetahuan, bakat, jaringan, serta idea dan inovasi yang mampu direalisasikan.

“Gunakan platform ini bukan sekadar untuk mempamerkan produk, tetapi juga membina jaringan, berinteraksi dengan pihak berkepentingan, mengenali agensi, mencari rakan strategik, dan meneroka pasaran baharu.

“Kita mahu memastikan negeri ini menyediakan ruang dan peluang kepada anak muda untuk terus menzahirkan kreativiti dan inovasi mereka.

“Ini sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dalam membina negeri yang menyediakan ruang, peluang, dan ekosistem membolehkan rakyat, termasuk generasi muda, berkembang dan menyumbang secara aktif,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pas perlu jaga adab dalam bermuafakat – UMNO Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI