PERTUMBUHAN ekonomi, kemasukan pelaburan baharu dan pelaksanaan projek pembangunan di negeri Perak mampu membuka ruang yang semakin luas kepada gerakan koperasi negeri untuk berkembang.
Walau bagaimanapun, peluang itu tidak akan memberi sebarang makna sekiranya koperasi masih bergerak dengan pendekatan perniagaan yang sama seperti sebelum ini.
Dengan kekuatan 1,755 koperasi dan lebih 355,000 anggota, gerakan koperasi di Perak sebenarnya mempunyai skala yang cukup besar untuk memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi setempat.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B), Datuk Ahmad Norihan Jalal, melihat perubahan cara berfikir sebagai perkara penting bagi memastikan koperasi tidak sekadar bertahan, sebaliknya mampu berkembang dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.

Beliau berkata, koperasi perlu dilihat sebagai entiti perniagaan yang mempunyai perancangan dan keupayaan untuk berkembang sendiri, tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Saya mahu koperasi melihat bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan sebagai pemangkin, dan bukan sebagai matlamat akhir. Koperasi perlu mempunyai perancangan perniagaan yang jelas.
“Koperasi perlu tahu ke mana hala tuju perniagaan, pasaran yang hendak ditembusi dan, yang paling penting, mempunyai keupayaan untuk berdiri serta berkembang secara berterusan selepas sesuatu bantuan atau pembiayaan diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Peringkat Negeri Perak, baru-baru ini.

Mesej itu penting kerana jumlah sokongan yang disediakan kerajaan menunjukkan peluang untuk koperasi memperkukuh perniagaan sememangnya tersedia, tetapi keberkesanannya bergantung kepada keupayaan setiap koperasi memanfaatkan kemudahan tersebut.
Bagi tahun ini, sebanyak RM254 juta disediakan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan 28 program pembangunan koperasi, termasuk RM226 juta melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM bagi menyokong modal kerja, pengembangan perniagaan serta meningkatkan daya saing koperasi.
Sebanyak RM27.9 juta lagi disediakan dalam bentuk geran menerusi Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb), Kumpulan Wang Pusat (CCF) dan Bajet Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Namun, sokongan kewangan sahaja tidak menjamin sesebuah koperasi mampu berkembang jika ia tidak disusuli dengan sebarang perancangan strategik, tadbir urus baik dan keupayaan mengenal pasti peluang yang sesuai.

Justeru, Ahmad Norihan berkata, SKM juga melihat peranannya lebih luas kerana ekosistem sokongan yang kukuh diperlukan bagi membawa koperasi daripada tahap operasi biasa kepada organisasi yang lebih profesional.
“Kesemua inisiatif ini perlu dilihat sebagai satu ekosistem sokongan yang membantu koperasi bergerak daripada tahap operasi biasa kepada organisasi yang lebih profesional, berdaya tahan dan berorientasikan pertumbuhan
“Kerajaan bukan sahaja melihat koperasi sebagai sebuah organisasi keanggotaan, tetapi sebagai instrumen ekonomi yang berpotensi menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan anggota,” katanya.
Projek pembangunan buka ruang perniagaan
Jika dilihat dari sudut ekonomi negeri, ruang untuk koperasi berkembang sebenarnya semakin terbuka susulan pertumbuhan ekonomi dan pelaksanaan projek berskala besar di Perak yang sedang rancak dibangunkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ekonomi negeri berkembang 5.7 peratus kepada RM91.5 bilion pada 2025, mengatasi pertumbuhan nasional sebanyak 5.2 peratus, manakala sektor pembuatan mencatat pertumbuhan 15.2 peratus.
Perkembangan itu membawa kesan langsung kepada permintaan terhadap pelbagai barangan dan perkhidmatan, sekali gus membuka peluang kepada koperasi untuk mengambil bahagian dalam rantaian ekonomi khususunya di kawasan industri.
Di bawah RMK13, sebanyak 479 projek pembangunan bernilai RM29.38 bilion diluluskan untuk Perak, termasuk 148 projek baharu yang bernilai RM9.7 bilion.

Angka itu bukan sekadar menunjukkan nilai pembangunan yang bakal dilaksanakan, sebaliknya memberi gambaran mengenai potensi permintaan baharu terhadap sektor makanan, pengangkutan, logistik, penyelenggaraan, peruncitan dan pelbagai perkhidmatan sokongan lain.
Antara pembangunan yang diberi perhatian ialah Taman Industri Halal Perak di Lekir serta Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), yang boleh menjadi ruang kepada koperasi untuk memasuki rantaian bekalan mengikut kepakaran masing-masing.
Saarani berkata, koperasi perlu membuat persediaan lebih awal dengan mengenal pasti keperluan projek, dan standard yang perlu dipenuhi sebelum permintaan terhadap barangan serta perkhidmatan meningkat.

“Dalam industri halal, ruang perniagaannya juga luas. Koperasi boleh terlibat dalam pengeluaran, pemprosesan, pembungkusan, pengedaran, logistik, pemasaran dan perkhidmatan sokongan mengikut kekuatan serta kemampuan masing-masing.
“Bagi sektor agromakanan, model koperasi boleh menghimpunkan pengeluar kecil supaya hasil dapat dikumpulkan pada skala yang lebih baik, diproses dengan lebih tersusun dan dipasarkan dengan kuasa rundingan yang lebih kuat,” ujarnya.
Persoalannya kini bukan lagi sama ada koperasi mempunyai ruang untuk berkembang, tetapi sejauh mana mereka mampu mengenal pasti peluang yang benar-benar sesuai dengan kapasiti dan kepakaran masing-masing.
Bantuan sebagai pemangkin untuk bergerak jauh
Kerajaan negeri turut menyediakan sokongan menerusi peruntukan RM1.1 juta dalam Belanjawan Negeri Perak 2026 bagi pembangunan usahawan dan koperasi, selain Geran Koperasi Perak (GKOP) berjumlah RM350,000.
Bagi tahun ini, 22 koperasi menerima geran berjumlah RM1.134 juta, namun bantuan itu perlu diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur seperti peningkatan kapasiti, pertambahan pasaran dan hasil perniagaan yang berjaya diperoleh.

“Sebab itu koperasi perlu melihat bantuan sebagai pemangkin untuk bergerak lebih jauh. Pengurusan perlu tahu pasaran yang hendak dimasuki, kos yang perlu dikawal, rakan niaga yang perlu didekati dan kekuatan yang perlu dibina untuk beberapa tahun ke hadapan,” katanya.
Dalam konteks itu, gerakan koperasi Perak kini berdepan fasa yang berbeza berbanding sebelumnya yang mana, kekuatan asasnya sudah ada, sokongan kerajaan tersedia dan peluang ekonomi semakin berkembang.
Jika langkah itu dapat diterjemahkan secara konsisten, koperasi bukan sekadar menjadi penerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Perak, malah berpotensi menjadi sebahagian daripada rantaian perniagaan yang menggerakkan pertumbuhan tersebut.
Dalam konteks Perak Sejahtera 2030 hasil cetusan idea Menteri Besar Perak, pengukuhan gerakan koperasi juga boleh menjadi antara mekanisme untuk memastikan manfaat pembangunan ekonomi negeri dapat diperluas seperti di bawah Flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


