GERIK – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited memastikan koperasi masyarakat Orang Asli tidak terus kekal pada skala mikro, sebaliknya diperkasa sehingga mampu berkembang dan bersaing dengan koperasi lebih besar.
Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, usaha memperkukuh koperasi Orang Asli merupakan antara keutamaan agensi itu bagi tempoh 2026 hingga 2027.
Menurut beliau, koperasi Orang Asli perlu dibimbing secara berterusan menerusi pelbagai bentuk sokongan termasuk kursus, bengkel, geran dan pinjaman supaya mampu meningkatkan kapasiti serta mengembangkan aktiviti ekonomi.
“Kita faham memang negeri-negeri sentiasa membantu komuniti Orang Asli dan kami di SKM salah satu keutamaan adalah untuk menyantuni mereka kerana mereka perlu dibawa ke satu tahap lebih tinggi.
“Mereka tidak boleh berada hanya sebagai koperasi mikro atau kecil tetapi mereka perlu berada di atas (tahap itu),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program CSR Pemerkasaan Komuniti Orang Asli melalui Penyerahan Bot kepada Koperasi Orang Asli sempena Program Aspirasi Sosioekonomi Koperasi Orang Asli (PASTI ASLI) di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Usahawan Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengarah SKM Perak, Mohd Firdaus Hussin.
Ahmad Norihan berkata, SKM akan terus menyediakan sokongan yang bersesuaian bagi membantu koperasi Orang Asli meningkatkan keupayaan pengurusan serta memperluas aktiviti perniagaan.
beliau berkata, bantuan itu merangkumi aspek pembangunan kapasiti melalui pembelajaran dan kursus, selain akses kepada geran serta kemudahan pembiayaan yang bersesuaian.
“Dari segi pembelajaran, kursus, bengkel, geran ataupun pinjaman-pinjaman tertentu yang perlu kita berikan kepada koperasi Orang Asli ini supaya mereka boleh, satu hari nanti, bersaing dengan koperasi-koperasi yang lain, koperasi yang besar contohnya.
“Kita tidak boleh tinggalkan mereka dan tidak boleh jadikan mereka berada di pinggiran kerana golongan ini perlu diletakkan dalam gerakan koperasi dalam arus perdana sekali,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu akan dilaksanakan secara berterusan dengan memberi perhatian kepada koperasi Orang Asli di beberapa negeri termasuk Perak, Johor, Selangor dan Pahang, selain komuniti Orang Asal di Sabah serta Sarawak. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak mahu lebih banyak komuniti Orang Asli tubuh koperasi


