Selepas BYD berundur, Perak runding pelabur baharu di AHTV

SUNGAI SIPUT – Perak sedang berbincang dengan beberapa pelabur berpotensi yang berminat untuk melengkapkan ekosistem automotif Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pelaburan itu termasuk bagi mengambil tempat syarikat automotif BYD Company Limited (BYD) dari China yang membatalkan hasrat untuk melabur di hab berkenaan.

Menurutnya, perbincangan tersebut sedang dijalankan namun nama syarikat terbabit belum boleh diumumkan atas faktor kerahsiaan dan peraturan pasaran modal.

“Sebenarnya kerajaan negeri sentiasa berbincang dengan pelabur-pelabur dengan faktor utama termasuk berkaitan ketersediaan tanah-tanah yang ada di Tanjung Malim.

“Cuma kami (kerajaan negeri) sedang meneliti kesesuaian pelabur untuk yang akan datang ke Perak kemudian hari. Sebab kami, apa yang kami mahu di Tanjung Malim adalah mereka (pelabur) yang sesuai dengan ekosistem automotif.

“Kami tak mahu mereka datang daripada ekosistem lain-lain kerana mungkin tidak sesuai dengan kawasan itu.

“Jadi kami tidak mengambil langkah untuk orang kata penyelesaian jangka pendek saja, tetapi yang lebih utama untuk penyelesaian jangka panjang dan itu antara yang telah kami lakukan.

“Kami sedang berbincang dan kami akan umumkan nanti apabila mereka (pelabur) masuk (melabur),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Tomoi Antarabangsa Sungai Siput di Arena Pavilion Sungai Siput, malam tadi.

Dalam pada itu, Loh berkata, kerajaan negeri memang mengalu-alukan pelabur untuk datang melabur tetapi perlu ketersediaan dalam perancangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) secara keseluruhan.

“Sebagai contoh kalau dalam konteks Tanjung Malim mungkin diterajui oleh Geely (Geely Holding Group) dan juga ekosistemnya.

“Selain itu, Geely juga mempunyai banyak anak syarikat yang juga berminat tetapi perlu mengambil masa yang bersesuaian sebelum mereka melabur di kawasan tersebut.

“Untuk jangka masa sekarang kami dimaklumkan bahawa Proton sedang giat untuk menaikkan kapasiti mereka untuk pasaran-pasaran eksport termasuk juga menaikkan aktiviti mereka,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan perancangan BYD untuk membina kilang pemasangan kenderaan elektrik (CKD) di Malaysia mungkin tidak diteruskan susulan syarat baharu ditetapkan MITI.

Antara isu utama yang menjadi titik perbezaan ialah keperluan supaya 80 peratus kenderaan yang dihasilkan dieksport manakala hanya 20 peratus dibenarkan untuk pasaran tempatan dengan harga tidak kurang RM200,000.

Bagaimanapun MITI dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa tiada syarat yang tidak memihak dikenakan terhadap pengeluar kereta, sebaliknya keperluan itu terpakai sama rata kepada semua pelaburan automotif baharu sejak September 2025. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Isu BYD tidak jejas keyakinan pelabur ke Perak – Saarani

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI