IPOH – Isu membabitkan syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD Company Limited (BYD) tidak akan merencatkan keyakinan pelabur lain untuk terus melabur di negeri Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak tidak hanya bergantung kepada satu pelabur semata-mata, malah terus menerima minat daripada pelabur luar.
“Kita bukanlah hanya ada satu pelabur sahaja yang masuk ke negeri Perak. Tadi pun kita ada menerima taklimat daripada pelabur daripada Taiwan, (melibatkan anggaran bernilai) RM840 juta.
“Bermakna, tidaklah bermakna jika BYD tidak dapat melabur di Perak, ini akan menjejaskan pelabur-pelabur lain. Sebab tapak-tapak perindustrian, taman-taman perindustrian itu dibuka dengan banyaknya dan pelabur-pelabur lain dijemput untuk melabur.
“Walaupun kita kecewa dengan apa yang berlaku terhadap BYD, tetapi kita harap ia tidak akan menyebabkan kita berputus asa ataupun memberi laporan yang tidak baik di kalangan pelabur-pelabur.
“Sebab ini kes yang terpencil tetapi kita tahu dan kita yakin ramai lagi pelabur di luar sana, dengan kerjasama dan kerja kuat oleh Exco Pelaburan, akan ada kehadiran pelabur-pelabur yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Biasiswa Menteri Besar Perak Tahun 2026 kepada Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penyerahan Cek Cura Biasiswa Agrotek Perak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) – Yayasan Perak (YP) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus mempergiat usaha menarik pelabur baharu dengan menyediakan lebih banyak kawasan perindustrian yang berpotensi tinggi.
Menurutnya, keyakinan terhadap Perak sebagai destinasi pelaburan kekal kukuh hasil sokongan pelbagai pihak serta komitmen berterusan dalam mempromosikan negeri itu di peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara tersebut.
“Saya rasa pihak mereka sedang menganalisa maklumat-maklumat yang ada dan keputusan akan diambil dalam tempoh yang terdekat.
“Jadi saya berharap semua percaya kepada pentadbiran, percaya kepada Perdana Menteri, dan kami cuma menyampaikan sahaja hasrat rakyat Perak.
“Keputusan nanti, kami di kerajaan negeri tentulah akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penubuhan kilang BYD tidak boleh diubah, kekal di Perak – Exco
Pelaburan BYD: Lonjakan strategik untuk Tanjung Malim


